Bila Mahasiswa Berpolitik


Oleh: ibnu zinedine, 2005

Jabatan Perdana Menteri terpaksa menubuhkan jawatankuasa khas di luar negara bagi memantau aktiviti mahasiswa yang dikatakan dipengaruhi dakyah pembangkang. Penubuhannya juga bagi memastikan kegiatan mahasiswa sentiasa berada di landasan yang dikehendaki kerajaan dan penaja-penaja mahasiswa.Kebanyakan persatuan pelajar di luar negara dikatakan antikerajaan dan pro pembangkang. Antara persatuanluar negara yang sering dikaitkan dengan pembangkang ialah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Sementara itu, mahasiswa di Malaysia juga tidak kurang serangan yang ditujukan terhadap mereka. Berikutan itulah diwujudkan sistem meritokrasi bagi memastikan mahasiswa tidak membuang masa mereka berpolitik dan hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran. Pilihanraya-pilihanraya kampus di tanahair seolah-olah pilihanraya umum. Disebabkan kebanyakan perwakilan-perwakilan mahasiswa yang memenangi pilihanraya kampus merupakan mereka yang kritis terhadap kerajaan, maka mereka dituduh terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Persoalannya di sini, wajarkah mahasiswa disekat dari berpolitik? Politik tidak dapat dipisahkan dari kehidupan seseorang. Manusia telah diajar berpolitik sejak kecil lagi. Pemilihan ketua darjah sewaktu kita bersekolah rendah dulu merupakan politik. Segala urusan kehidupan kita berkait dengan politik. Namun yang ditekankan di sini ialah politik yang cenderung kepada menyokongn parti-perti politik yang wujud di Malaysia.

Berbalik kepada persoalan mahasiswa berpolitik, sekali lagi persoalan yang sama ditanya, wajarkah mahasiswa disekat dari berpolitik? Atau mudahnya wajarkah mahasiswa disekat dari berpolitik kepartian? Rata-rata mahasiswa berumur 21 tahun ke atas dan menurut perlembagaan negara, individu yang berumur 21 tahun ke atas berhak mengundi dan memilih parti. Hak ini sepatutnya tidak boleh digugat oleh sesiapa dan apa-apa akta. Sekiranya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menyekat hak mahasiswa sebagai individu memilih parti politik yang mereka percayai, secara automatiknya akta ini terbatal kerana bercanggah dengan perlembagaan negara.

Setakat ini, lima orang pelajar Malaysia termasuk pelajar ijazah kedoktoran (ph.D) di United Kingdom telah ditarik balik biasiswa mereka kerana terbabit dengan aktiviti antikerajaan. Antikerajaan atau pro pembangkang? Kita seharusnnya membezakan antara antikerajaan dan pro pembangkang. Tidak semestinya apabila seseorang menyokong pembangkang, dia boleh dituduh antikerajaan. Dan perlu juga dijelaskan bahawa anti kepada parti politik yang memerintah juga bukanlah bererti antikerajaan kerana ia bukan kerajaan, ia adalah satu parti politik yang mewakili kerajaan. Sekiranya Parti Dayak sekalipun memenangi pilihanraya, maka mereka pula yang akan mewakili kerajaan. Ini satu matematik yang mudah.

Secara peribadi, penulis bersetuju mahasiswa tidak melibatkan diri dengan politik kepartian secara berkumpulan (berpesatuan) tetapi boleh melibatkan diri secara individu. Ertinya persatuan-persatuan pelajar tidak boleh melibatkan persatuan dengan mana-mana parti politik. Contoh mudahnya, PMRAM tidak boleh melibatkan persatuan dengan mana-mana parti politikdan pada masa yang sama, ahli PMRAM tidaklah dihalang dari menyokong mana-mana parti yang mereka percayai. Itu hak individu mereka sebagai rakyat Malaysia. Begitu juga dengan persatuan-persatuan mahasiswa yang lain. Tetapi ini tidaklah bermakna persatuan-persatuan mahasiswa tidak boleh menyuarakan ketidak puasan hati atau kritikan terhadap kerajaan yang memerintah. Dato’ Noh Omar yang merupakan pengerusi jawatankuasa khas memantau aktiviti pelajar ini sendiri menyebut, “Bukan tujuan jawatankuasa untuk menyekat kebebasan pelajar terutama dalam berfikir atau meluahkan buah fikiran. Kerajaan akui pelajar perlu kritis termasuk ketika memberi pandangan walaupun ia menyentuh dasar-dasar kerajaan”.

Menjadi tanggungjawab persatuan atau perwakilan pelajar memberikan buah fikiran atau kritikan membina terhadap kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan mendengar pandangan dan kritikan mahasiswa. Bukannya menyekat mereka daripada bersuara atau menuduh mereka pembangkang dan sebagainya. Sekiranya persatuan pelajar dituduh berpolitik kepartian, bagaimana pula halnya dengan Kelab UMNO? Adakah ia bukan kelab politik? Masuk akalkah jika dikatakan kelab tersebut badan kebajikan? Kita tidak pernah dengar mana-mana pun parti dalam dunia ini yang menubuhkan kelab untuk pelajar. Jadi siapakah pelopor yang menjerumuskan mahasiswa ke arah politik kepartian?. Dan seharusnya mereka-mereka yang terlibat dengan Kelab ini lebih awal lagi ditarik pinjaman atau bantuan biasiswa mereka kerana secara jelas berpolitik kepartian. Sikap ‘double standard’ kerajaan dalam hal ini amat memeningkan pelajar. Namun bila pelajar mengkritik, dituduh pula pelajar pembangkang.Persoalannya, adakah dengan menyertai Kelab UMNO barulah mahasiswa akan dikatakan tidak antikerajaan?

Kerajaan harus membezakan antara memberi kritikan dan menyokong pembangkang. Memang tidak dapat dinafikan terdapat sesetengah isu, pendirian mahasiswa seolah-olah selari dengan pemikiran pembangkang. Ini tidak menjadikan mereka antikerajaan. Kerajaan memandang pembangkang sebagai satu kumpulan yang merbahaya dan tidak cintakan tanahair Malaysia. Sebab itulah dalam kempen-kempen pilihanraya, pembangkang dikaitkan dengan militan, sukakan keganasan dan sebagainya. Inilah silapnya. Pertembungan politik yang berlaku adalah kerana persoalan dasar sesebuah parti, bukannya masalah cintakan negara atau tidak. Jika tidak, mengapa tidak diharamkan sahaja parti-parti pembangkang atau hapuskan sahaja sistem pilihanraya.

Mungkin ada pihak yang takut dengan peranan mahasiswa dalam menetukan hala tuju negara. Mengapa perlu takut? Mahasiswa inilah juga yang bakal mentadbir dan memerintah negara pada masa yang akan datang. Kita khuatir seandainya mahasiswa makin ditekan, akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti di Indonesia dan China. Itulah akibatnya apabila pandangan tidak diendah dan kebebasan bersuara disekat.

Kerajaan seharusnya berbangga kerana sistem pendidikan negara Malaysia mampu melahirkan mahasiswa yang prihatin dan peka dengan masalah negara serta berusaha memberi pandangan yang membina. Sepatutnya kerajaan berusaha mendekati pelajar dan mendengar masalah dan pandangan mereka serta berusaha menjelaskan isu negara kepada mereka. Menuduh mereka termakan hasutan atau dakyah pembangkang seolah-olah menuduh mereka bodoh dan tidak mampu berfikir yang mana baik yang mana buruk. Janganlah terlalu memandang rendah kepada mahasiswa. Mereka adalah golongan intelek yang mampu mengubah hala tuju sesebuah negara. Sia-sialah sekiranya mereka bersusah payah melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, akhirnya menjadi pak turut dan katak bawah tempurung.

Posted on August 2, 2008, in Alam Mahasiswa. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: