Saya bukan spy-Ezam Mohd.Noor


EZAM


PUTRAJAYA 29 Mei – Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor yang kembali menyertai UMNO semalam, menegaskan bahawa beliau bukan pengintip kepada PKR.

Menurut beliau, andaian yang ditimbulkan oleh segelintir pihak itu bersifat dangkal dan berniat jahat terhadapnya.

‘‘Saya bukan spy (pengintip), sudah tentu dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Agenda saya (menyertai semula UMNO) adalah agenda negara dan bukannya atas tujuan tertentu atau melibatkan kepentingan mana-mana individu di dalam mahupun di luar UMNO,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Ezam, 41, ditanya mengenai tanggapan pihak tertentu bahawa penyertaan semula beliau ke dalam UMNO adalah bagi memudahkannya bertindak sebagai ‘pengintip’ untuk parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan UMNO.

Semalam, beliau mengumumkan kembali kepada UMNO selepas mengisytiharkan keluar daripada PKR pada April tahun lalu.

Mohamad Ezam bertindak keluar daripada parti itu setelah kecewa dengan corak kepimpinan PKR yang dikatakan dikuasai secara eksklusif oleh golongan tertentu yang berkepentingan peribadi.

Ditanya lebih lanjut, menurutnya, beliau tidak disogok oleh mana-mana pemimpin parti pembangkang untuk bertindak sebagai pengintip bagi menjatuhkan parti keramat orang Melayu itu.

“Saya tidak berhubung langsung dengan pemimpin PKR untuk menjadi pengintip atau sekadar untuk memaklumkan kepada mereka mengenai penyertaan saya ke dalam UMNO,” katanya.

Tegasnya, matlamat beliau ialah untuk berjuang membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat perubahan kepada negara.

Tambahnya, beliau merancang berjumpa dengan ahli-ahli UMNO selepas ini bagi menjelaskan tujuannya menyertai parti itu ialah semata-mata untuk negara.

“Dalam penerangan itu nanti, saya tidak akan menyentuh soal cara untuk ‘menjatuhkan’ pemimpin mana-mana parti sebaliknya hanya akan menjelaskan mengenai strategi dan perancangan dalam membuat perubahan dalam negara.

‘‘Mungkin saya akan ceritakan sedikit tentang apa yang tidak kena dalam PKR tetapi tidak berniat apa-apa sebaliknya hanya sekadar mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO,” katanya.

Sementara itu di Petaling Jaya, Mohamad Ezam berkata, pengumuman Perdana Menteri mengenai penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia merupakan kenyataan paling penting yang mendorongnya menyertai semula UMNO.

Beliau yakin Perdana Menteri komited memastikan proses memerangi rasuah di negara ini akan berjaya apabila membuat keputusan paling sukar memberi kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk bertindak.

‘‘Sepanjang 10 tahun (di luar UMNO) saya melalui liku perjuangan yang getir dan pelajaran paling berharga bagi saya ialah kesedaran bahawa kemelut masyarakat dan negara ketika ini berpunca daripada rasuah dan penyelewengan,’’ katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau diberikan ganjaran tertentu untuk menyertai UMNO.

Jelas Mohamad Ezam, beliau tidak pernah keluar daripada UMNO, sebaliknya dipecat pada 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti ketika itu.

Ditanya sama ada beliau berhasrat memegang sebarang jawatan dalam UMNO, Mohamad Ezam berkata, beliau yakin mampu membuat perubahan tanpa kuasa dan sebarang jawatan dalam parti.

Mengenai kesediaan digunakan oleh UMNO untuk berhadapan dengan Anwar, beliau bersedia melakukannya.

‘‘Dalam politik kita sama ada menggunakan orang lain atau membiarkan diri kita dipergunakan,’’ ujarnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan masih memegang prinsip bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu dikaji semula demi keadilan rakyat.

Posted on May 30, 2008, in Lonjakan Politik Melayu and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: