Menghayati Empayar Amerika


SEBUAH empayar global sedang terbentuk; empayar global yang pertama dalam sejarah. Empayar ini, sama seperti empayar-empayar sebelumnya, juga dibangunkan dengan kekuatan ketenteraan.

Amerika Syarikat (AS) pada hari ini memiliki kekuatan ketenteraan yang sungguh menakjubkan. AS bukan saja lebih berkuasa daripada mana-mana negara malah melampaui seluruh kekuasaan tentera 14 buah negara selepasnya. Tidak pernah wujud dalam sejarah sebuah kuasa tentera yang menggerunkan seperti ini. AS menempatkan tidak kurang daripada 800 buah pangkalan tentera di serata dunia termasuk di negaranya sendiri.

Kekuatan tenteranya menguasai perut lautan dan mencecah hingga ke angkasa lepas dan mensasarkan dominasi lingkungan yang menyeluruh. Oleh sebab kuasanya yang luar biasa itu, Washington merasakan mereka boleh mengetepikan undang-undang antara-bangsa – seperti yang telah dilakukannya dalam pencerobohan ke atas Iraq pada Mac 2003.

Kekuatan ketenteraannya itu menjadikan AS merasakan mereka begitu istimewa . AS menuntut hak daripada beberapa negara untuk mengecualikan anggota tenteranya daripada didakwa di bawah panji-panji PBB atau pihak lain sekiranya mereka terlibat dalam apa-apa salah laku ketika menjalankan tugas di negara lain, dan tuntutan itu dibenarkan.

Hal ini bermakna walaupun sesebuah negara itu menanda-tangani Statut Rom atau mendukung Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), mereka tidak boleh mengheret tentera AS ke mahkamah. Malah AS sendiri menentang keras penubuhan ICC. Kekuasaan tentera ialah salah satu alasan kenapa Washington memilih jalan unilateralisme dalam politik global.

Dengan dukungan sekutunya, Washington melakukan apa-apa yang dirasakannya betul tanpa mempedulikan pandangan umum. Inilah yang dilakukannya kepada Iraq. AS menceroboh dan menakluk sebuah kerajaan berdaulat walaupun masyarakat dunia membantah tindakannya, termasuk PBB yang enggan mengesahkan keputusannya itu.

Oleh sebab AS memilih jalan unilateralisme dan bukannya multilateralismc serta tekanan berbanding rundingan, AS dituduh mengamalkan fasisme dalam politik antarabangsa. Iraq juga bukti bagaimana kekuasaan tentera digunakan untuk menguasai sumber ekonomi penting, iaitu minyak.

Malah dalam kes Afghanistan, AS menggunakan ketenteraan untuk menumbangkan rejim Taliban sebelum mengembangkan kuasa ke lima buah republik di Asia Tengah. AS dengan cepat membuka pangkalan tentera di tiga buah republik berkenaan.

Sekarang AS mempunyai kawalan mutlak ke atas kekayaan minyak di seluruh 11 wilayah Asia Tengah-Laut Caspian. Kuasa tentera juga digunakan untuk memantau laluan perairan strategik bagi melindungi kepentingan perniagaan, pelaburan dan pasaran AS. Pendek kata, kekuasaan tentera menjadi prasyarat penting untuk menjaga kepentingan seluruh sistem kapitalis neo liberal Washington dengan syarikat multi nasional dan transnasional, bank, pasaran kewangan, peniaga mata wang dan spekulator komoditinya.

Akan tetapi empayar itu bukan hanya dibina melalui kuasa ketenteraan. Industri hiburan AS sejak sekian lama telah memainkan peranan yang besar dalam membentuk sikap popular di dalam dan di luar negara. Melalui filem dan video, muzik dan lagu, kartun dan komik, AS digambarkan sebagai pejuang kebebasan dan demokrasi, negara yang penuh dengan peluang dan kemakmuran, yang menghargai bakat dan pencapaian. Dalam kalangan masyarakat dunia, AS dikaitkan dengan gaya hidup yang sangat menarik yang tertumpu kepada kebebasan dan kejayaan individu. Maka tidak mustahillah produk hiburan menjadi eksport AS yang terbesar!

Hard power – kekuasaan tentera – dan soft power – kekuasaan hiburan – telah sama-sama digunakan untuk membangunkan empayar itu. Dengan erti kata lain, ada kuasa yang nyata dan tersembunyi. Kuasa tersembunyi bergantung kepada kuasa nyata. Kuasa tersembunyi juga menjadikan kuasa nyata dapat diterima.

Selepas mendedahkan remaja Vietnam kepada budaya pop Amerika selama beberapa dekad, kapal-kapal perang AS kembali berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Vietnam.

Bagaimanakah Empayar Amerika ini tumbuh dan berkembang?

Dalam kalangan semua empayar yang terlibat dalam Perang Dunia Kedua, hanya AS sahaja yang secara relatifnya tidak terjejas. Malah negara-negara yang menang perang seperti Britain ketika itu mengalami masalah kewangan yang teruk.

Hal ini bermakna pada tahun 1945 hanya AS sahaja yang berada pada kedudukan boleh menerajui dunia, dan AS memilih untuk menunjukkan kepimpinannya dalam dua cara. AS memaksa dunia mengiktiraf kekuatan tenteranya.

AS menggugurkan dua butir bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos 1945, dan mengorbankan 340 000 orang lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Memandangkan ada bukti-bukti yang jelas sekarang bahawa Jepun pada ketika itu sedang mengalami kejatuhan dan akan menyerah kalah beberapa bulan sebelum bom-bom itu digugurkan, pengeboman itu nampaknya hanyalah untuk membuktikan kepada dunia betapa AS memiliki kekuasaan tentera yang paling utuh, dan semua pihak harus mengetahuinya.

Pada masa yang sama, AS membantu menubuhkan bebera­pa institusi antarabangsa yang akan membentuk dunia mengikut acuannya. Salah satu yang ketara ialah PBB yang ditubuhkan pada tahun 1945 yang kemudiannya diterajui oleh AS dan empat sekutunya pada waktu itu (Britain, Perancis, Kesatuan Soviet dan China), yang kesemuanya diberikan kuasa veto.

Setahun sebelum itu, AS melancarkan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Pada tahun 1947, AS mempelopori Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT).

Walaubagaimanapun rancangan AS untuk menguasai dunia dengan bantuan sekutunya terbantut. Menjelang tahun 1949, politik dan tentera Kesatuan Soviet menguasai sepenuhnya Eropah Timur.

Komunisme ala Soviet menjadi ideologi rantau itu. Eropah ketika itu terbahagi kepada negara-negara yang mengamalkan demokrasi kapitalis di Barat dan negara-negara yang condong kepada Kesatuan Soviet di Timur dengan Jerman yang terbelah dua menjadi lambang pemecahan itu. Perang dingin pun bermula. Tahun 1949 juga cukup penting apabila Parti Komunis China pimpinan Mao Tze-Tung mula berkuasa melalui revolusi rakyat. AS menganggap China sebagai musuhnya, sama seperti Kesatuan Soviet.

Kemunculan dua negara komunis itu menyukarkan AS untuk meneruskan wawasannya. Ada satu lagi fenomena yang bermula sejak akhir tahun 1940-an yang turut menjejaskan hegemoni Washington.

Beberapa buah negara di Asia dan Afrika mencapai kemerdekaannya sekitar tahun 1950-an dan 1960-an. Negara-negara ini tidak mahu menurut perintah AS, mahupun Kesatuan Soviet.

Sebahagian daripada mereka berhimpun di Bandung, Indonesia di bawah kepimpinan Sukarno (Indonesia), Jawaharlal Nehru (India), Chou En-Lai (China) dan Gamal Nasser (Mesir) untuk mengisytiharkan tekad bersama untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara masing-masing, yang menjadi asas kepada Prinsip Bandung.

Nasionalisme Asia dan Afrika menjadi satu lagi halangan kepada Empayar Amerika. Sentimen kebangsaan ini diperkukuh lagi melalui pembentukan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada tahun 1961.

NAM disertai oleh hampir kesemua negara yang terlibat dalam pertemuan di Bandung, kecuali China.

Cabaran yang dihadapkan oleh komunisme dan nasio-nalisme terhadap Washington dan sekutunya menjelma dalam perjuangan berani rakyat Vietnam di bawah Ho Chi-Minh untuk mengembalikan integriti dan kemerdekaannya.

Selepas berjuang lebih sepuluh tahun, mereka berjaya menumpaskan pendudukan AS. Kejayaan itu merupakan satu pencapaian besar penentangan terhadap imperialisme Amerika apabila kejayaan ini tersebar ke seluruh dunia pada dekad-dekad selepas Perang Dunia Kedua.

Ada beberapa peristiwa penting lain antara lewat tahun 1950-an hingga akhir tahun 1970-an yang juga menjadi halangan kepada hegemoni AS. Cuba di bawah Fidel Castro memerdekakan dirinya daripada Washington pada tahun 1959 melalui revolusi.

Beberapa buah negara Amerika Selatan cuba mempertahankan kedaulatannya tetapi kurang berjaya. Di Afrika, Julius Nyerere cuba meneroka jalan sendiri untuk membangunkan negaranya, Tanzania. India, sejak kemerdekaannya pada tahun 1947 sehingga awal tahun 1980-an, berpegang kepada dasar luar berkecuali yang ditunjangi oleh nasionalisme ekonomi.Lebih penting lagi, di Asia Barat, negara-negara seperti Libya dan Iraq yang telah memiliknegarakan minyaknya mencergaskan semula Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petro­leum (OPEC).

Usaha yang dijalankan dengan kerjasama Raja Saudi, Raja Faisal itu adalah untuk menjadikan OPEC sebagai kartel yang berkuasa yang setidak-tidaknya mampu memecahkan cengkaman syarikat minyak Barat ke atas harga petroleum sehingga kini.

Kuasa ekonomi yang ada pada OPEC pada pertengahan tahun 1970-an walaupun terhad telah membolehkan negara-negara Selatan menyuarakan agenda mereka dengan yakin di PBB dan badan-badan dunia lain. Cadangan-cadangan untuk sebuah Orde Baru Maklumat Antarabangsa dan Orde Baru Ekonomi Antarabangsa ialah produk daripada era itu.

Namun ketika Selatan menuntut keadilan dalam sistem antarabangsa, keadaan sedang mula berubah. Antikolonialisme – ikatan yang menyatupadukan negara-negara Asia dan Afrika yang baru merdeka – tidak lagi berkesan seperti pada dekad-dekad awal selepas perang. Tatkala berhadapan dengan begitu banyak cabaran pembangunan ekonomi dan perubahan sosial, negara-negara itu mula mendapati kepentingan dan aspirasi mereka tidak lagi serupa.

Kepentingan mereka jauh berbeza kerana kadar pertumbuhan negara-negara itu juga tidak sama. Lebih memburukkan keadaan, sejumlah negara NAM mula condong kepada sama ada blok AS atau blok Kesatuan Soviet, dan hal ini melemahkan solidariti mereka.

Negara-negara Selatan juga semakin berpecah dek peperangan dan konflik antara negara, yang sesetengahnya merupakan perang proksi AS-Soviet.

Salah satu perang yang awal ialah pertempuran sempadan China-India pada tahun 1962. Akan tetapi konflik yang paling merosakkan ialah perang Iran-Iraq di antara tahun 1980 hingga tahun 1988. Perang antara dua negara utama anggota OPEC itu me­lemahkan kekuatan dinamik pertubuhan tersebut, sesuatu yang dinanti-nantikan oleh Washington.

Malah ada bukti-bukti jelas yang menunjukkan bahawa Washington memberikan sokongan kepada Saddam Hussein dalam bentuk perisikan ketenteraan. Perang itu memberikan kesan negatif kepada NAM dan Pertu­buhan Persidangan Islam (OIC), yang juga dianggotai oleh Iraq dan Iran.

Konflik Iran-Iraq, dan ditambah pula dengan trend yang sedang melanda negara-negara Selatan telah mencetuskan suasana yang memihak kepada Washington. Keadaan ini tambah menguntungkan dengan keruntuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Menjelang akhir tahun 1980-an dan awal tahun 1990-an, komunisme dan nasionalisme – dua kuasa yang membantutkan cita-cita AS ke arah hegemoni global – tidak lagi berada dalam keadaan yang mampu mencabar Washington.

Akan tetapi ada satu lagi cabaran yang sedang terbentuk. Revolusi Iran 1979 telah meletakkan Islam ke tengah-tengah arena politik nasional dan antarabangsa.

Kejayaan Mujahidin ke atas tentera Soviet pada tahun 1989 membayangkan kemampuan gerakan penentangan Islam mengalahkan sebuah kuasa besar. Walaupun kesan dua peristiwa ini pada awalnya tidak begitu ketara, peranan yang dimainkan oleh gerakan Islam pada hari ini dalam menawarkan beberapa bentuk penentangan terhadap hegemoni tidak dapat difahami seluruhnya tanpa kita melihat keadaan yang berlaku pada tahun 1979 dan tahun 1989.

Tanpa komunisme dan nasionalisme, AS – buat kali keduanya – dapat menonjolkan dirinya sebagai pelopor orde baru dunia. AS melakukannya dengan penuh bergaya. AS menggerakkan sekutu pimpinannya untuk mengusir Iraq dari Kuwait, yang ditakluk oleh Saddam pada 2 Ogos 1990 dengan cara yang melanggar norma-norma antarabangsa. Sekutu 32 buah negara pimpinan AS ini ialah gambaran kuasa dan pengaruh yang ada pada Washington selepas tamatnya perang dingin. Kepimpinan Washington itu tiada tandingannya. AS menjadi satu-satunya kuasa tunggal dunia.

 “Neo-con” dan kepentingan-kepentingan lain
Pada ketika itu jugalah – sekitar awal tahun 1991, beberapa orang yang mempunyai hubungan dengan Presiden George Bush Sr. (bapa kepada Presiden AS sekarang) cuba meyakinkannya bahawa inilah masa untuk merebut peluang dan memastikan hegemoninya sebagai kuasa besar tunggal kekal sampai bila-bila. Belum sempat Bush Sr. berbuat apa-apa, beliau tersingkir daripada jawatannya.

Mereka yang memperjuangkan hegemoni menyeluruh itu terpaksa menunggu lagi. Pengganti Bush, Bill Clinton juga sedar bahawa AS tidak lagi mempunyai tandingan. Penglibatan ketenteraannya di Iraq, Afghanistan dan Sudan menunjukkan beliau bersedia untuk mengguna dan menyalahgunakan kuasa AS demi kepentingan globalnya. Akan tetapi Clinton tidak bersedia untuk melakukan­nya bersungguh-sungguh; dari masa ke masa beliau menimbangkan pandangan sekutunya, pandangan dunia dan realiti persekitaran antarabangsa.

Keadaan mula berubah pada tahun 2000 apabila George Bush Jr. berkuasa. Kumpulan neo-konservatif (Neo-Cons) di kelilingnya – Paul Wolfowitz, John Bolton, Douglas Feith, Eliot Abrams dan Richard Perle yang sesetengahnya pernah bekerja dengan bapanya – mempunyai satu blueprint untuk mengubah dunia. Mereka yakin AS harus menggunakan kuasa ketenteraannya untuk memastikan AS kekal dominan.

Kuasanya sangat luar biasa sehinggakan tidak ada mana-mana negara atau gabungan negara yang terfikir mahu mencabarnya. Kekuasaan AS itu kemudiannya mengukuhkan kedudukan Israel sehingga AS mampu menguasai politik dan ketenteraan Asia Barat. Golongan Neo-Cons ini secara kebetulan semuanya Zionis.

Hegemoni AS dan Israel juga membantu memastikan bahawa mereka mempunyai kawalan ke atas bekalan minyak Asia Barat dan juga minyak dari rantau lain dengan menguasai laluan perairan. Demi menguasai dunia dan Asia Barat sepenuhnya, golo­ngan Neo-Cons ini mengaburi niat sebenar mereka dengan mengisytiharkan bahawa misi mereka adalah untuk membawa kebebasan dan demokrasi kepada masyarakat dunia.

Peristiwa 11 September dari satu segi memberikan alasan kepada Neo-Cons untuk meneruskan misi mereka. Memandangkan pengganas dikatakan menentang kebebasan dan demokrasi berkeras mahu memusnahkan cara hidup Amerika, pentadbiran Bush menjadikan perang melawan terorisme sebagai alasan untuk menyelamatkan AS dan seluruh dunia.

Bagi Neo-Cons, ini ialah justifikasi serangan AS ke atas Afghanistan dan penggulingan rejim Taliban yang memberi perlindungan kepada rangkaian pengganas Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden. Perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan umum ialah bagaimana penguasaan AS ke atas Afghanistan, sebagaimana yang kita lihat, telah membantunya mendapatkan akses kepada sumber minyak yang lumayan di sekitar wilayah itu.

Begitu juga, Saddam Hussein terpaksa digulingkan untuk menghalangnya daripada membenarkan rangkaian pengganas memperoleh senjata pemusnah besar-besaran yang didakwadimilikinya.

Walaupun penceroboh Iraq sekarang mengaku bahawa Saddam tidak memiliki senjata tersebut dan tidak ada rangkaian pengganas di Iraq sebelum pencerobohan itu, mereka menegaskan bahawa tindakan itu berasas kerana pencerobohan itu menyingkirkan tirani yang menindas rakyatnya.

Namun mereka tetap tidak mengaku bahawa penguasaan ke atas sumber minyak kedua terbesar di dunia merupakan alasan utama selain menghancurkan rejim yang menentang Israel.

Malah obsesi Neo-Cons kepada keselamatan mutlak Israel – yang hanya boleh dicapai melalui kuasa hegemoni Tel Aviv ke atas rantau itu – jugalah yang menggerakkan perancangan yang sama ke atas Syria dan Iran. Berbanding dengan mana-mana kumpulan di Washington, hanya Neo-Cons dan elit Israel yang mahu melumpuhkan keupayaan Tehran mengeluarkan tenaganuklear.

Selain Neo-Cons, kumpulan ideologi lain yang komited kepada hegemoni AS dan Empayar Amerika ialah golongan Kristian Kanan. Sebuah Empayar Amerika yang menguasai terutama Asia Barat sepenuhnya pada pandangan mereka akan menjamin masa depan Israel.

Sebuah negara Israel yang dominan dan berjaya ialah prasyarat kemunculan semula Messiah. Apabila Messiah muncul semula puak-puak yang berpengaruh dalam Kristian Kanan percaya seluruh dunia akan memeluk agama Kristian!

Sementara itu, Washington dan Tel Aviv harus menggunakan kuasa ketenteraan untuk menghapuskan sesiapa saja yang mengganggu-gugat keselamatan Israel. Biar ganjil bagaimana sekalipun pandangan Kristian Kanan itu, kita tidak boleh menempelaknya begitu saja.

Sebahagian besar penduduk AS yang menganut Kristian dikatakan berpegang kepada idea-idea Kristian Kanan, sesetengah pihak menganggarkan mereka ini berjumlah 40 peratus. Malah, lobi yang berpengaruh dan pemimpin politik utama di Washington juga dilihat merupakan sebahagian daripada kelompok Kristian Kanan.

Selain itu, ada juga kumpulan-kumpulan berkepentingan yang mempunyai kaitan dengan syarikat petroleum, industri senjata, syarikat perniagaan, rangkaian bank dan kewangan yang juga mempunyai minat terhadap empayar berkenaan.

Hegemoni global Amerika akan mengukuhkan kekayaan mereka dan melebarkan peluang-peluang yang ada.

Namun begitu ada juga kelompok dalam kalangan sektor ekonomi ini yang kurang senang dengan pembentukan empayar kerana hal ini akan mencetuskan ketegangan, ketidakstabilan dan kemuncaknya, kekacauan yang berpanjangan. Empayar itu juga mempunyai pendukungnya di luar AS. Sama seperti pembangun empayar itu di AS, mereka juga enggan menggunakan istilah “empayar’.

Akan tetapi daripada sokongan dan penglibatan mereka dalam pembentukan hegemoni itu jelas bahawa mereka meyakini dominasi AS terhadap dunia.

Elit Israel dan sejumlah penduduk Yahudi Israel juga menyokong hegemoni AS. Elit pemerintah British juga telah dengan jelas memilih untuk mengaitkan diri mereka dengan empayar itu. Empayar itu juga senada dengan elit-elit di Canberra, Tokyo, Manila, Singapura dan beberapa kota lain.

Kesan dan Akibat Empayar

Apakah kesan percubaan untuk membina empayar global ini? Apakah akibatnya? Korban nyawa yang keterlaluan ialah kesan yang paling tragik. Dalam perang di Afghanistan dan Iraq puluhan ribu orang telah terkorban.

Menurut satu sumber, sejak penaklukan ke atas Iraq, kira-kira 100,000 orang a warn terbunuh kebanyakannya di tangan pasukan tentera penceroboh. Kita telah menyaksikan bagaimana usaha ke arah hegemoni global ini diiringi dengan kemunculan autoritorianisme global.

Ekoran itu ialah pengenalan undang-undang untuk melawan terorisme yang menyekat dan kadangkala juga menindas termasuk di negara-negara yang mengamalkan demokrasi seperti Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

Adalah sesuatu yang ironi apabila Empayar yang bertujuan menyebarkan kebebasan dan demokrasi telah mencetuskan keadaan yang membawa kepada penghakisan kebebasan sivil dan politik di banyak tempat.

Manifestasi yang lebih menakutkan akibat daripada cengkaman ke atas kebebasan itu ialah penyeksaan dan penderaan di beberapa buah pusat tahanan dan penjara yang ditadbir oleh empayar.

Guantanamo dan Abu Ghraib ialah dua daripada contohnya. Sekarang ini juga ada bukti-bukti yang menunjukkan ba­hawa Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) telah membentuk jaringan penjara di beberapa tempat di serata dunia.

Di penjara-penjara itu, para pemimpin terkemuka Al-Qaeda ditahan bagi satu tempoh yang tidak pasti tanpa peluang mendapatkan nasihat perundangan atau dibicarakan. Empayar tersebut juga telah meremehkan prinsip-prinsip asas kedaulatan sesebuah negara.

Kerajaan yang berdaulat tidak lagi mempunyai kuasa mutlak ke atas perkara-perkara yang menyentuh soal keselamatan nasional. Perkhidmatan perisikan AS bukan saja mempunyai akses sepenuhnya ke atas rekod-rekod keselamatan dalaman sesetengah kerajaan malah adakalanya mengarahkan bagaimana seharusnya mereka bertindak dalam hal-hal tertentu. Ada satu lagi kesan pembentukan Empayar itu yang patut diketengahkan.

Memandangkan kapitalisme neo-liberal ialah ideologi ekonomi Empayar, pembina empayar bersungguh-sungguh mahu menggunakan kuasa mereka untuk meneruskan agenda liberalisasi, tanpa kawalan dan penswastaan yang telah meluaskan jurang ekonomi dan sosial di dalam negara-negara dan di peringkat global.

Satu laporan PBB yang diterbitkan pada September 2005 misalnya menunjukkan bahawa 20 peratus teratas daripada penduduk dunia di negara-negara Utara menguasai 80 peratus kekayaan dunia manakala baki 80 peratus di negara-negara Selatan memiliki 20 peratus saja. Laporan itu juga membuat pemerhatian bahawa keadaan semakin membimbangkan bagi penduduk miskin dunia.

Malah sejak pembinaan Empayar bermula tiga atau empat tahun lalu wujud usaha yang bersungguh-sungguh memaksa negara-negara Selatan menerima terma-terma perdagangan, teknologi dan pelaburan global yang merugikan mereka.

Usaha itu juga telah meluaskan jurang antara Washington dengan masyarakat Islam. Dua negara pertama yang diserang oleh empayar itu ialah negara Islam; dua negara dalam sasaran juga negara Islam.

Memandangkan kebanyakan daripada minyak yang dijual beli di dalam dunia mengalir di bawah kaki orang Islam, mereka tahu cita-cita empayar untuk mengawal komoditi itu menjadi salah satu sebab kenapa umat Islam dan Empayar itu saling berkonflik.

Satu lagi agenda Empayar itu – membentuk semula Asia Barat untuk memastikan hegemoni Israel – mungkin menjadi punca yang lebih besar kepada konflik itu, seperti yang terbukti dalam perkembangan sejak belakangan ini.

Demi memastikan hegemoni Israel, umat Islam sedar bahawa perjuangan Palestin untuk keadilan akan ditentang habis-habisan.

Sehabis tidak pun, kumpulan Neo-Cons, Kristian Kanan dan kelompok lain yang berkepentingan mungkin akan membenarkan pembentukan Bantustan (negara atau wilayah tanpa kuasa) Palestin di Gaza dan sebuah wilayah kecil di Tebing Barat di bawah penguasaan penuh Israel.

Bagi orang Palestin, umat Islam dan orang Arab di mana-mana pun, ini ialah penyelesaian yang tidak adil dan tidak bermaruah. Cara ini hanya akan mencetuskan lebih banyak kemarahan dan kebencian terhadap Washington dan Tel Aviv.

Ada satu lagi sebab kenapa hubungan antara Washing­ton dengan umat Islam di serata dunia semakin buruk sejak 11 September dan usahanya ke arah hegemoni global.

Atas nama memerangi terorisme, orang Islam di beberapa negara Barat sering diburu, diganggu dan selalu ditakut-takutkan dan dihina. Sikap segelintir media, tokoh agama Kristian dan malah sesetengah pemimpin politik di AS terutamanya yang menyamakan umat Islam dengan terorisme telah mengukuhkan gambaran stereotaip dan stigma terhadap mereka.

Sememangnya tindakan menyamakan umat Islam sebagai pengganas atau sebagai kelompok yang cenderung kepada keganasan mempunyai sejarah latar belakangnya yang panjang. Hal ini ditanamkan dalam pemikiran masyarakat Barat 10,000 tahun dan kini digelarkan “Islamofobia”. Malah sesetengah masyarakat bukan Barat, Islamofobia juga sedang munculsemula dan berkembang.

Terorisme

Kritikan terhadap tindakan mengecap umat Islam dan kekesalan kepada Islamofobia yang keterlaluan tidak bermakna kita menafikan wujudnya kumpulan kecil dalam dunia Islam yang cenderung kepada keganasan dalam perjuangan mereka menegakkan keadilan.

Al-Qaeda ialah salah satu kumpulan seperti itu. Al-Qaeda mula terkenal pada tahun 1991 apabila mereka menyelar pangkalan tentera AS di Arab Saudi yang dianggap sebagai satu pencabulan memandangkan negara itu ialah tapak dua tanah suci Islam. Pada tahun 1996, Al-Qaeda mengebom Pangkalan Udara Raja Abdul Aziz di Dhahran, Arab Saudi, membunuh 19 orang tentera AS.

Al-Qaeda juga dikaitkan dengan beberapa serangan lain sejak itu: kedutaan AS di Kenya dan Tanzania pada tahun 1998 serta kapal perang AS di Yemen pada tahun 2000. Kemuncaknya ialah serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York dan Pentagon di Washington pada 11 September 2001 yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa, kebanyakannya orang awam. Sejak itu, Al-Qaeda juga dikatakan terlibat dalam pengeboman di Madrid pada Mac 2004 dan London, 7 Julai lalu.

Sekiranya benar Al-Qaeda secara sedar dan sengaja menjadikan orang awam sasaran sebagai strateginya melawan ketidakadilan yang dilakukan oleh AS dan sekutunya, mereka telah memilih pendekatan yang dikutuk oleh Islam sebagai sangat kejam. Islam tidak membenarkan pembunuhan orang awam atau “non-combatants” dalam apa-apa juga perjuangannya, biar sesuci mana sekalipun.

Itulah sebabnya selepas 11 September, tokoh-tokoh utama Islam dari serata dunia mengutuk perlakuan bacul itu dengan kata-kata yang sangat tegas.

Walau apa-apa sekalipun cita-cita Osama bin Laden untuk memusnahkan Empayar Amerika, agak sukar untuk dia berjaya. Dia mungkin tidak sedar bahawa terorismenya telah mengukuhkan Empayar itu. Selepas 11 September, atas nama memerangi terorisme, Empayar itu telah menembusi Asia Tengah dan Laut Caspian, menakluk Iraq dan menguatkan Cengkamannya ke atas sistem keselamatan negara-negara di serata dunia. Osama telah membuktikan terorisme ialah sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat; terorisme satu strategi bodoh dalam melawan Empayar.

Penentangan

Apakah ada cara lain untuk menentang Empayar?Barangkali penentangan yang paling kuat ketika ini sedang berlaku di negara-negara yang sedang diduduki secara langsung oleh AS dan Israel. Melainkan Afghanistan yang penentangan-nya terhadap tentera AS dan negara lain agak tidak teratur, tidak dapat dinafikan bahawa penentangan di Iraq menyeluruh dan sistematik.

Penentangan Palestin terhadap Israel juga merupakan satu gerakan pembebasan yang cukup bertahan lama serta paling gigih dalam dunia masa ini. Memandangkan penguasaan ke atas Asia Barat sangat penting kepada agenda AS dan Israel, kita boleh berhujah bahawa penentangan Iraq dan Palestin mempunyai kepentingan yang besar dari segi sejarah.

Secara ringkasnya, oleh sebab penentangan merekalah Empayar itu sekarang berada dalam keadaan kucar-kacir. Jika tidak, para pembina Empayar itu sekarang diyakini mungkin telah mengembangkan hegemoninya ke wilayah lain di Asia Barat. Kita harus juga melihat penentangan terhadap Empayar itu di rantau lain bermula dengan Eropah.

Walaupun Eropah kekal menjadi sebahagian daripada sekutu yang diterajui oleh Washington, kerajaan Jerman dan Perancis adakalanya kurang senang dengan unilateralisme AS dan keghairahannya menggunakan kekerasan dalam penyelesaian konflik.

Pendekatan berbeza ini ketara dalam krisis Iraq. Walaubagaimanapun, kita harus realistik dan tidak boleh mengharapkan kerajaan-kerajaan Eropah menentang projek imperialWashington itu. Sebagai perbandingan, Amerika Latin meletakkan harapan yang lebih cerah. Cuba mempunyai rekod yang konsisten dan berprinsip sebagai sebuah negara yang menentang Empayar itu lebih 40 tahun dan enggan menyerah kepada hegemoninya.

Sejak empat tahun yang lalu, Presiden Venezuela, Hugo Chavez juga menunjukkan keberanian dan keyakinan yang dimiliki oleh mentornya, pemimpin Cuba, Fidel Castro. Chavez juga bertekad mahu memastikan pembangunan memberikan manfaat kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan dalam masyarakatnya dan Venezuela tidak menjadi wilayah tambahan AS.

Negara-negara Amerika Latin yang lain seperti Brazil, Chile, Argentina, dan Bolivia juga mula sedikit bertegas terhadap kuasa AS. Di Afrika, para pemimpin kerajaan Sudan, Libya dan Afrika Selatan dari masa ke masa membuat pendirian dalam isu-isu politik serta ekonomi serantau dan antarabangsa yang menunjukkan mereka sedar tentang pentingnya mengekalkan kemerdekaan mereka dalam arena global. Hal ini juga berlaku dalam kepimpinan Syria.

Kepimpinan Rusia yang merupakan kuasa politik yang penting – kerana jumlah penduduknya dan sejarahnya – juga tidak bersedia untuk tunduk menjadi penurut kepada hegemoni AS. Rusia nampak berminat untuk mengukuhkan ketenteraannya demi kepentingannya sendiri. Kerajaan India juga cukup sedar bahawa mereka meru­pakan negara kedua terbesar dunia.

Sesetengah pemimpinnya tidak mahu negara itu menjadi negara yang hanya mengikut kata AS. Di Asia Tenggara, Malaysia dan Vietnam telah menunjuk­kan mereka mampu mengekalkan kebebasan politiknya walau­pun mengamalkan dasar-dasar ekonomi yang berorientasikan pasaran.

Ada empat negara lagi yang berhasrat mengekalkan kemerdekaannya dalam arena antarabangsa, antaranya, Korea Utara dan Myanmar yang telah mengasingkan diri daripada masyarakat global dan oleh itu, tidak termasuk dalam analisis ini. Iran bagaimanapun merupakan negara contoh terbaik yang telah menggagalkan beberapa cubaan AS dan sekutunya serta proksinya untuk memusnahkan kemerdekaan dan kedaulatannya sejak Revolusi 1979.

Walaupun melalui perang selama lapan tahun, satu pencerobohan gagal yang diatur oleh AS, siri pembunuhan pemimpin dan ulamanya, sekatan ekonomi oleh AS dan asetnya yang dibekukan di AS, Iran kekal bertegas dalam komitmennya terhadap idea-idea revolusi Islamnya. Berbeza dengan Al-Qaeda – yang sangat menentang Iran dan ideologi Syiah – Iran memilih untuk melawan AS dengan mengukuhkan kekuatannya melalui jalinan ekonomi dan politik pada peringkat serantau dan antarabangsa, yang berasaskan pendekatan terhadap Islam yang kurang eksklusif tetapi lebih kontemporari.

Sebuah negara lagi yang menjadi cabaran kepada AS sudah tentulah China. China dari satu segi sangat penting ke­pada ekonomi dunia pada hari ini berbanding AS sendiri. China merupakan sebuah kuasa ekonomi yang membantu mencipta peluang pekerjaan dan menyuburkan perniagaan di beberapa buah negara di serata dunia.

Oleh sebab kuasa ekonominya dan demografinya – yang mempunyai penduduk teramai di dunia, Washington amat khuatir kepada China dan cuba sedaya upaya membendung kebangkitannya. Akan tetapi China telah menjalin hubungan yang baik dengan seluruh benua dan amat dihormati di serata dunia.

Kedudukan China dalam arena antarabangsa hari ini dan peranan yang dimainkan oleh beberapa buah negara, terutamanya penentangan oleh rakyat Palestin dan Iraq, menyukarkan usaha membina dan mengekalkan Empayar Amerika. Penentangan berterusan daripada masyarakat sivil telah lebih menyukarkan elit Washington dan sekutunnya untuk menekankan hegemoni imperial ke atas umat manusia. Dari pada forum-forum global untuk mengiringi sidang-sidang Kemuncak PBB atas isu-isu yang menyentuh soal alam sekitar dan hak asasi manusia sehinggalah kepada isu-isu pembangunan dan perkauman yang dianjurkan antara tahun 1992 hingga tahun 2001, daripada tunjuk perasaan besar-besaran menentang globalisasi pada akhir tahun 1990-an dan awal abad ini, masyarakat sivil telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka mahukan sebuah dunia yang lebih sempurna.

Perjuangan mereka dan pendirian yang mereka suarakan dalam Forum Sosial Dunia di Porto Alegre, Brazil pada Januari 2001 – sebuah forum yang mengangkat aspirasi masyarakat untuk keadilan dan keamanan sejagat, merupakan antitesis kepada kapitalis neo-liberal, dan dunia hegemoni yang cuba. dibangunkan oleh Washington dan sekutunya.

Ketika beberapa kumpulan masyarakat sivil cuba membentuk alternatif kepada sistem global yang dominan, sesetengahnya cuba menangani cabaran sejagat yang khusus – yang juga merupakan satu bentuk penentangan kepada kepentingan hegemoni. Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil bersama sesetengah kerajaan dan sebahagian media, memainkan peranan utama dalam kempen ke arah mengharamkan periuk api.

Walaupun AS dan beberapa negara yang berkuasa menentang Perjanjian Periuk Api 1997, masyarakat sivil telah menunjukkan bahawa mereka mampu memperjuangkan undang-undang antarabangsa, biar sebesar mana sekalipun halangannya.

Masyarakat sivil juga membantu menjadikan Perjanjian Kyoto mengenai pemanasan global pada tahun 1997 satu realiti – sekalipun berhadapan dengan tentangan dari AS dan negara-negara lain. Sumbangan masyarakat sivil dalam membentuk ICC melalui Statut Rom 1998 ialah contoh ketiga bagaimana kelompok ini menentang kuasa hegemoni AS dan dalam proses itu mengukuhkan undang-undang antarabangsa.

Hanya apabila trend dalam sebahagian masyarakat sivil ini yang ditunjukan dalam tempoh lebih kurang sedekad diletakkan dalam konteks yang sewajarnya barulah kita dapat memahami kemampuannya untuk menggerakkan jutaan umat manusia di serata dunia membantah perang ke atas Iraq pada tahun 2003.

Elok juga diulang berkali-kali bahawa protes Iraq itu ialah gerakan penentangan terhadap perang dan sokongan kepada keamanan yang paling besar dalam sejarah. Hal ini merupakan penentangan kolektif yang paling signifikan pernah diadakan terhadap hegemoni AS. Itulah ketikanya umat manusia menolak Empayar! Walaupun mereka gagal menyekat perang itu, mereka berjaya mengharamkan perang.

Akibat gerakan masyarakat sivil inilah perang mula dilihat sebagai sesuatu yang tidak bermoral dan tidak adil. Pada akhirnya hal ini menunjukkan bahawa Empayar itu sekarang sudah mempunyai musuhnya – umat manusia di serata dunia.

Keruntuhan

Walaubagaimanapun, penentangan dari luar sahaja tidak memadai untuk meruntuhkan Empayar tersebut. Sejarah membuktikan bahawa hampir semua Empayar runtuh kerana kelemahan dalaman.

Tindakan ketenteraan AS – dua perang dalam tempoh tiga tahun – telah mula membebankan sumbernya. Perang Iraq terutamanya menjadi biawak yang bergantung pada tengkuknya. Itulah salah satu alasan kenapa defisit persekutuannya meningkat sejak beberapa tahun belakangan ini.

Jika dihitung bersama defisit perdagangannya, hutang AS setakat 15 Ogos lalu berjumlah AS$7.9 trilion. AS merupakan negara yang paling banyak berhutang.

AS juga berhadapan dengan masalah ekonomi dan sosial lain termasuk pengangguran, perlindungan kesihatan yang tidak mencukupi, harga minyak yang meningkat serta kurangnya pelaburan dalam infrastruktur awam.

Dalam tempoh enam bulan lalu, bantahan rakyat AS terhadap perang di Iraq juga semakin kuat. Hal ini demikian kerana jumlah kematian tenteranya di Iraq semakin meningkat. Ketika rencana ini ditulis, jumlahnya mencecah 2 038 orang.

Sebahagian besar rakyat AS sekarang merasakan bahawa penaklukan Iraq ialah satu kesilapan. Mereka mahu pentadbiran Bush menetapkan tarikh pengunduran tenteranya dari Iraq.

Proses pengambilan rekrut baru dalam tempoh setahun yang lalu juga menunjukkan penurunan yang besar. Dengan erti kata lain, semakin sedikit rakyat AS yang bersedia untuk pergiberperang di Iraq.

Di tengah-tengah kepincangan ini, gerakan antiperang di AS mendapat suntikan semangat baru melalui seorang ibu berani yang kematian anaknya di Iraq. Cindy Sheehan yang kehilangan anaknya, Casey yang terkorban dalam satu pertempuran telah menuntut Presiden George W. Bush menjelaskan kepadanya kenapa anaknya harus mati.

Dia menuntut penjelasan apakah matlamat mulia yang diperjuangkan oleh anaknya itu. Berkat kesabarannya yang luar biasa, dia berjaya mengumpulkan ribuan penunjuk perasaan yang sama-sama berazam mahu meneruskan kempen itu sehingga tentera terakhir dibawa pulang. Malah Sheehan sekarang sedang cuba melancarkan gerakan penentangan sivil di seluruh negara terhadap perang itu.

Sekiranya sokongan dari dalam negara terhadap perang itu semakin berkurangan, kedudukan AS di peringkat antarabangsa telah sejak sekian lama merosot. Malah sebelum perang bermula pun, kredibiliti Bush di peringkat dunia berada pada kedudukan paling corot.

Selepas dua tahun jelas termasuk dalam kalangan para penyokong setianya bahawa serangan ke atas Iraq satu kesilapan besar. Keadaan ini menjelaskan kenapa pada mata dunia Bush berada pada tahap yang paling rendah. Apabila satu-satu kepimpinan itu tidak mempunyai kredibiliti di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, bagaimanakah pemimpin itu boleh meneruskan pembinaan sebuah empayar global?Inilah sebabnya kita harus penuh yakin bahawa percubaan pembinaan empayar global yang pertama dalam sejarah ini akhir­nya akan gagal. Dan seluruh umat manusia mempunyai alasan yang munasabah untuk meraikannya.

Tulisan : Dr. Chandra Muzaffar

Posted on December 12, 2007, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: