Anwar cabar arahan BPR di mahkamah


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa perintah mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 terhadapnya pada 22 Oktober lalu adalah tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi undang-undang.

Dokumen tersebut diserahkan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepadanya yang mengarahkan supaya menyerahkan versi penuh klip video perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz pada tahun 2002 mengenai pelantikan hakim.

Permohonan tersebut difailkan oleh firma guaman Tetuan William Leong & Co – peguambela dan peguamcara bagi pihak Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 3 petang ini.

Berikut adalah kandungan afidavit yang difailkan oleh Anwar bagi menyokong permohonan tersebut:

Pada 5.10.2007, dua pegawai daripada Responden, Badan Pencegah Rasuah (“BPR”) telah hadir ke pejabat di No. 17, Jalan 16/2, 46000 Petaling Jaya Selangor Darul Ehsan melalui satu temujanji untuk menemuduga saya berkaitan dengan satu laporan yang dikemukakan oleh Encik Sivarasa Rasiah pada 20.10.2007 berhubung dengan amalan rasuah yang disyaki melibatkan perlantikan-perlantikan hakim termasuk Tun Ahmad Fairuz bin Sheikh Abdul Halim sebagai Presiden Mahkamah Rayuan. Saya telah ditemuduga dengan kehadiran peguamcara saya, Encik Willam Leong.

Laporan ini adalah berdasarkan isi kandungan satu rakaman video yang menunjukkan seorang peguam, Dato’ V.K. Lingam sedang bercakap dengan Tun Fairuz. Saya telah menerima satu salinan 8 minit rakaman video tersebut daripada sumber yang tidak dapat saya namakan dan maklumkan buat sementara ini kepada media menerusi sidang media pada 19.9.07. Walaupun, saya telah menonton satu versi rakaman 14 minit, saya hanya diberi satu salinan oleh sumber-sumber tersebut akan rakaman video 8 minit tersebut.

Pada hari Isnin, 22hb Oktober 2007, tiga pegawai dari pihak BPR telah hadir ke pejabat saya sekali lagi melalui satu temujanji. Penyataan lanjut telah direkodkan dari saya dengan kehadiran peguam-peguam saya, Encik William Leong, Encik Sankaran Nair dan Encik Sivarasa Rasiah. Pegawai-pegawai BPR tersebut ialah En. Sazali Saldi, Pengarah Cawangan Tindakan Khas di Ibu Pejabat BPR dan En. Harris Mohd, Penyiasat Kanan.

Saya telah ditanya samada saya memiliki rakaman asal penuh versi 14 minit. Saya telah memaklumkan kepada pegawai-pegawai tersebut bahawa saya tidak memiliki rakaman asal tersebut. Saya juga telah memaklumkan kepada mereka bahawa saya akan dapat membekalkan kepada mereka satu salinan sah versi 8 minit di dalam “thumb-drive”, yang dapat disahkan secara teknikal, dan saya telah mencadangkan agar penyerahan tersebut dibuat pada Khamis, 25hb Oktober 2007 di pejabat saya. Ini telah dipersetujui oleh pegawai-pegawai tersebut.

Selepas selesai merakamkan penyataan, pegawai-pegawai telah meninggalkan bilik untuk membuat beberapa panggilan telefon. Mereka telah kembali dan kemudiannya meminta saya menerimaserah satu perintah di bawah seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memerintahkan saya untuk mengemukakan dokumen rakaman video 14 minit yang asal pada atau sebelum Khamis, 25hb Oktober 2007 seperti berikut:

“Klip video asal rakaman penuh perbualan telefon (selama lebih kurang 14 minit) yang dikatakan antara V.K. Lingam dan seorang hakim kanan pada tahun 2002”. Sesalinan sah perintah tersebut dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan ditandakan sebagai Exhibit “AI-1”.

Sesudah itu, saya menanyakan pada pegawai-pegawai tersebut mengapa mereka mengeluarkan perintah ini, yang dengan jelas telah disiap-sediakan lebih awal, walhal saya baru sahaja memberitahu mereka yang saya tidak memiliki salinan asal tersebut. Mereka memaklumkan kepada saya bahawa mereka telah diarahkan untuk berbuat demikian.

Pada Khamis, 25hb Oktober 2007, En. Sazali telah menelefon saya pada lebih kurang 9.30 pagi untuk menanyakan waktu mereka dapat menemui saya. Saya mencadangkan di antara 11.00 pagi hingga 11.30 pagi. Beliau berkata bahawa beliau akan menelefon untuk mengesahkannya.

Lebih kurang pada pukul 10.45 pagi, beliau menelefon sekali lagi untuk menanyakan samada saya boleh menemui mereka di pejabat atau di kediaman saya. Saya menyatakan bahawa saya berada di pejabat saya. Beliau menyatakan bahawa di sana terdapat ramai orang. Saya kemudiannya memaklumkan bahawa terdapat lebih kurang 150 orang hadir termasuk lebih kurang 50 wartawan dan telah memberikan jaminan peribadi bahawa proses untuk menyerahkan “thumb-drive” tersebut tidak akan mengambil masa lebih daripada 10 minit.

Lebih kurang pada 11.05 pagi, beliau sekali lagi menelefon dan menyatakan bahawa pertemuan kami telah dibatalkan dengan menggunakan perkataan-perkataan “terpaksa dibatalkan”. Beliau juga menyatakan bahawa beliau akan menalefon kembali untuk membincangkan masa yang sesuai untuk bertemu untuk mengambil “thumb-drive” tersebut.

Saya telah dinasihatkan oleh peguamcara saya dan oleh itu, sesungguhnya percaya bahawa perintah seksyen 22 tersebut yang dikeluarkan terhadap saya adalah salah di sisi undang-undang dan terbatal dan harus diketepikan berdasarkan alasan-alasan berikut:

1. Pengeluaran perintah tersebut adalah tidak rasional dan tidak munasabah memandangkan tidak terdapat fakta asas yang wujud untuk tuntutan tersebut dibuat seperti seadanya. Saya tidak boleh menyerahkan sesuatu yang saya tidak miliki.

2. Cara pengeluaran perintah tersebut oleh Responden dengan mengetahui sepenuhnya bahawa saya baru sahaja mengesahkan yang saya tidak mempunyai rakaman asal yang dituntut menunjukan niat jahat (mala fides) mereka.

3. Pengeluaran perintah tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa yang sedia ada oleh Responden di Bahagian IV Akta tersebut, terutama sekali seksyen 22.

Sebagai mantan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kabinet yang diamanahkan untuk menggubal Akta tersebut dan kemudiannya membentangkannya di Parlimen, saya arif dengan tujuan dan objektif seksyen tersebut yang bertujuan untuk memberi kuasa-kuasa kepada pegawai-pegawai penyiasat untuk memperolehi keterangan, maklumat dan dokumen-dokumen berkaitan daripada orang-orang yang disyaki melakukan kesalahan-kesalahan rasuah.

Walaubagaimanapun, dalam kes ini, bertentangan dengan tujuan Parlimen dan Akta tersebut, kuasa-kuasa tersebut telah disalahgunakan di sini sebagai satu cubaan untuk memberi tekanan dan menakutkan saya sebagai seorang yang secara sukarela mendedahkan kesalahan-kesalahan rasuah seperti yang disyaki sebagai sebahagaian daripada tanggungjawab-tanggungjawab awam saya.

Saya juga telah dinasihatkan dan sesungguhnya percaya bahawa ketidakpatuhan perintah tersebut adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 29 Akta tersebut yang dibaca bersama dengan seksyen 57 dan seksyen 58 yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau satu denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit.

Jelas, pengeluaran perintah tersebut merupakan satu ancaman langsung terhadap kebebasan peribadi saya dan satu pelanggaran hak perlembagaan saya. Memandangkan pengeluaran perintah tersebut tidak mempunyai asas undang-undang, saya percaya bahawa ianya mempunyai motif politik.

Berdasarkan alasan-alasan di atas, saya memohon satu perintah seperti dipohon di dalam permohonan saya di sini.

Sumber : malaysiakini.com

Posted on October 26, 2007, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: