Zeti dapat penarafan “A” lima tahun berturut-turut


WASHINGTON 23 Okt. – Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz meraih penarafan “A” bagi tahun kelima berturut-turut dalam satu laporan prestasi kewangan gabenor-gabenor bank dari seluruh dunia yang diberikan oleh majalah Global Finance.

“Malaysia nampaknya telah berjaya mengatasi kegawatan kewangan serantau dan dunia tahun ini, dan seperti biasa pengurusan dasar monetari oleh tokoh bank pusat Zeti telah membantu,” kata majalah yang berpangkalan di AS itu dalam terbitan Oktober.

“Tanpa mempedulikan krisis Asia awal tahun ini dan kesan limpahan daripada krisis subprima AS, Zeti telah mengekalkan kadar faedah pada kedudukan teguh 3.5 peratus sejak April lepas,” katanya.

“Dengan tidak melakukan apa-apa sejak setahun dua yang lalu, langkah bank pusat itu terbukti amat berkesan,” tegasnya.

Dalam satu temu bual di sini, Zeti berkata: “Saya menganggapnya sebagai rehat seketika. Kita adalah antara yang mula-mula mengekalkan kadar (faedah) kita sedangkan orang lain menaikkan kadar. Saya nampak tanda-tanda pertumbuhan yang lebih lembap dan tiada ancaman inflasi, jadi kita mengambil keputusan untuk berehat seketika.”

Hanya enam gabenor bank pusat menerima penarafan “A”. Di samping Malaysia, yang lain adalah dari Filipina, Indonesia, India, Sweden, Israel, dan Taiwan.

Amerika Syarikat diberikan penarafan ‘C’ manakala tokoh bank pusat Ben Bernanke dikecam kerana reaksi ‘acuh tidak acuh’nya terhadap masalah gadai janji subprima.

“Ketika sistem kewangan Amerika kelihatan berada di ambang bencana, Bernanke ghaib dari pandangan. Kemudian, beliau menyuntik sedikit mudah tunai dalam pasaran. Malangnya, jika beliau berharap untuk memberi jaminan kepada pasaran dengan menyuntik mudah tunai, beliau silap: Apa yang beliau lakukan hanyalah meyakinkan lagi pelabur-pelabur yang sedia resah bahawa ada sesuatu yang tidak kena, yang mereka belum tahu,” kata Global Finance.

Menurut majalah kewangan antarabangsa itu, ekonomi Malaysia bergerak lancar, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2007 berada pada landasan untuk hampir menyamai enam peratus tahun lepas manakala inflasi menyederhana dan turun dalam suku kedua tahun ini kepada 1.5 peratus, paras terendah sejak 2004.

“Sementara itu, ringgit beransur-ansur meningkat dari sudut sebenar berbanding dolar AS, sesuatu yang pada umumnya dipersetujui pemerhati sebagai baik untuk ekonomi,” kata majalah itu.

Bagaimanapun, ‘awan hitam yang menyelubungi ekonomi ini’ ialah kemerosotan permintaan bagi produk elektronik, tetapi sektor perkhidmatan kewangan Malaysia semakin rancak, kata Global Finance.

“Kewangan Islam Malaysia yang amat digalakkan Zeti, memainkan peranan penting dalam proses itu,” katanya.

– Bernama

Posted on October 24, 2007, in Ekonomi. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: