Undang-undang khas kawal bank sperma


 Kementerian kaji relevan perkhidmatan kepada masyarakat

KUALA LUMPUR: Satu undang-undang akan digubal khusus untuk menangani perkhidmatan bank sperma yang ditawarkan hospital swasta negara ini bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.

Setakat ini tiada peruntukan undang-undang yang menghalang perkhidmatan hospital swasta menawarkan sperma kepada pasangan tidak subur mendapatkan zuriat, walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengharamkan perkhidmatan bank sperma.

Malah, mana-mana pasangan di negara ini boleh memilih sperma mengikut cita rasa masing-masing berpandukan latar belakang penderma sperma yang direkodkan pihak hospital untuk rujukan mereka yang berminat mendapatkannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican (gambar), berkata Kementerian Kesihatan sedang memperincikan segala aspek berhubung perkara itu termasuk dari perspektif agama, moral, institusi keluarga dan etika kerana isu berkenaan amat sensitif.

“Masih awal untuk saya komen. Bagi kami masa menilai semula relevannya perkhidmatan ini kepada masyarakat. Kami masih pada peringkat perbincangan dan saya berjanji mengeluarkan kenyataan jika ada perkembangan terbaru.

“Apa yang penting, saya tidak mahu perkara ini mengundang spekulasi yang boleh mencalar imej perubatan di negara ini,” katanya kepada Berita Harian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Kebanyakan pasangan yang mendapatkan khidmat bank sperma ini biasanya sudah berputus asa untuk mendapat zuriat selepas menjalani pelbagai rawatan termasuk program persenyawaan benih luar rahim (IVF) dan suntikan sperma intracytoplasmic sperm injection (ICSI).

Beberapa hospital swasta yang dihubungi menjelaskan, bank sperma mereka tidak akan melaksanakan kaedah berkenaan kepada pasangan Islam walaupun ramai yang membuat permohonan.

Sumber memberitahu, sperma yang dibekalkan kepada pasangan yang berminat adalah daripada jenis ‘terpilih’ dan kualitinya terjamin.

“Kami memilih sperma daripada individu yang memiliki kriteria ditetapkan. Antaranya berpendidikan tinggi sekurang-kurangnya ijazah, berwajah tampan, selain mengutamakan jenis warna rambut dan anak mata.

“Kami juga akan mengesyorkan sperma penderma yang mempunyai iras wajah suami atau isteri misalnya, bentuk muka, mata, bibir dan hidung bertujuan memastikan anak yang bakal lahir mempunyai sedikit persamaan dengan pasangan itu,” katanya.

Sumber sebuah hospital swasta berkata, pendermaan dimulakan dengan temu duga untuk menentukan kelayakan disusuli ujian darah bagi mengesan penyakit dan masalah kesihatan lain. Pemeriksaan juga membabitkan rekod kesihatan ibu bapa penderma.

“Selain itu, penderma diminta menandatangani perjanjian mengandungi syarat termasuk pengecualian hak untuk mengetahui kepada siapa sperma itu didermakan kerana ia sudah menjadi hak mutlak hospital,” katanya.

Beliau berkata, pasangan yang berminat menggunakan khidmat bank sperma mestilah mendapat saranan doktor terlebih dulu tetapi ada kes membabitkan doktor yang melakukan proses itu membenarkan penderma dan penerima saling mengenali.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustapa Abdul Rahman, berkata secara umumnya Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengharamkan perkhidmatan bank sperma ini kepada umat Islam kerana ia bertentangan dengan syarak.

“Ia jelas bertentangan dengan Islam kerana sperma yang disenyawakan dalam rahim seorang wanita iaitu bukan pasangannya yang sah disifatkan sama seperti berzina, sekali gus anak bakal dikandung itu tidak sah taraf.

“Islam adalah agama yang menjaga keturunan bagi mengelak berlaku masalah penyakit genetik, sumbang mahram serta keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat. Jika seseorang individu tidak mengenali siapa bapa kandung atau susur galur keturunan sebenar mereka, tidak mustahil perkahwinan sesama muhrim berlaku dan sebab itu Islam mementingkan wali dalam sesuatu pernikahan,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Islam, Prof Madya Dr Abdul Latiff Mohamad, berkata sehingga belum ada akta diwujudkan bagi menjelaskan kesahihan bank sperma ini kepada masyarakat sekali gus mengundang kontroversi serta kekeliruan di kalangan umat Islam.

“Kami memandang serius perkara ini. Ia perlu dijelaskan bagi mengelak kekeliruan dan Bank Sperma tidak wajar dibudayakan di negara ini. Bukan umat Islam saja yang menolak tetapi saya percaya agama lain juga mempertikaikannya,” katanya.

Posted on June 25, 2007, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: