Pelajar Al-Azhar dibunuh rakan: Mangsa bukan sasaran


cari duit

KUALA TERENGGANU: Keluarga pelajar jurusan Usuludin di Universiti Al-Azhar cawangan Mansourah, Mesir, Mohamad Ishak, 22, yang mati ditikam di rumah sewanya, malam kelmarin, percaya mangsa bukan sasaran penyerangnya.

“Saya dan keluarga percaya Mohamad menjadi mangsa akibat tersalah sasaran,” kata Hussin, 28, abang kepada Allahyarham yang ditemui di rumah keluarganya di Kampung Pengkalan Rajawali, Chendering di sini, semalam.

Menurut Hussin, adiknya parah di kepala, muka, mata dan badan selepas ditetak oleh rakan sekuliahnya juga dari Malaysia.

Berikutan kecederaan itu, katanya, Mohamad disahkan meninggal dunia di Hospital Antarabangsa As-Sallam, kira-kira jam 8.30 malam waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia) yang terletak tiga kilometer dari rumah sewa itu.

Katanya, dia dan keluarga menerima berita kematian Allahyarham selepas diberitahu abang kembarnya, Hassan, yang mendapati maklumat itu daripada rakan di universiti berkenaan, pada jam 8 pagi semalam.

“Sebaik menerima berita itu, saya menghubungi Kedutaan Malaysia di Mesir dan pegawai terbabit mengesahkan kematian itu kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam),” katanya.

Selepas itu, kata Hussin, dia menghubungi Yang Dipertua Dewan Perwakilan Mahasiswa-Mahasiswi Mansourah dikenali sebagai Ali Zulfakar yang kemudian memberitahu punca kejadian berkenaan.

Menurutnya, dia difahamkan, penyerang yang juga dikenalinya ketika menuntut di universiti sama dua tahun lalu pergi ke rumah sewa Allahyarham yang tinggal bersama dua lagi pelajar Malaysia. Seorang berusia 24 tahun dari Kedah dan seorang lagi dari Terengganu.

“Saya difahamkan penyerang dan pelajar dari Kedah itu berselisih pendapat. Dia kemudian pergi ke rumah berkenaan untuk mencari pelajar dari Kedah itu yang kebetulan tiada di situ.

“Penyerang yang mungkin geram kerana gagal mencari sasarannya dikatakan terus menyerang adik saya dan menikamnya dengan pisau yang diambil dari dapur rumah itu.

“Ketika itu, hanya adik saya berseorangan sedang bermain komputer,” katanya.

Hussin berkata, dalam keadaan berlumuran darah, Mohamad cuba mempertahankan diri dan berlari masuk ke dalam bilik sambil merayu supaya tidak terus dicederakan, tetapi tidak diendahkan.

Katanya, Mohamad yang terus ditikam menjerit hingga didengari seorang lelaki Arab yang kebetulan melalui tempat kejadian sebelum cuba membantu menyelamatkan mangsa.

Adiknya kemudian dihantar beberapa penuntut ke Hospital Mansourah.

Dengan kejadian menyayatkan hati itu, hasrat keluarga melihat Mohamad mengikut jejak dua abangnya menamatkan pengajian di universiti itu tidak kesampaian.

Allahyarham baru selesai menduduki peperiksaan selama hampir sebulan yang berakhir Ahad lalu.

Dia belajar di universiti itu dengan perbelanjaan sendiri kerana gagal menerima tajaan dan keluarganya terpaksa menghantar wang RM200 sebulan.

Hussin yang pernah belajar jurusan sama di universiti itu selama empat tahun sebelum kembali ke tanah air pada 2005, berkata berdasarkan kenyataan rakannya, suspek dipercayai mengalami tekanan akibat peperiksaan.

“Saya juga mengenali suspek ketika menuntut di universiti itu dan dia seorang pendiam,” katanya yang menyifatkan Allahyarham seorang insan yang baik dan bijak bergaul.

Walaupun Hussin dan keluarganya merasai kehilangan Allahyarham, mereka reda jenazahnya dikebumikan di Kaherah, kira-kira dua jam perjalanan dari Mansourah.

“Kami tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan lebih RM10,000 untuk urusan membawa pulang jenazah,” katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Sajulia Ahmad dalam SMS kepada media memberitahu, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh bersetuju kerajaan negeri membiayai kos membawa pulang jenazah Allahyarham dari Mesir.

Menurutnya, urusan itu akan dilaksanakan melalui Yayasan Terengganu. Sumber Harian Metro

cari duit

Posted on June 15, 2007, in Alam Mahasiswa. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: