Ulasan Pasaran: Pelabur disaran tumpu faktor bulis tempatan


PANTULAN teknikal di pasaran saham minggu lalu tidak bertahan lama susulan kenyataan bekas pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Alan Greenspan mengenai pasaran saham di China yang menjejaskan sentimen pelabur.

 

Harga saham di Bursa Malaysia menyaksikan penurunan yang tidak dijangkakan, selepas meningkat kukuh berikutan pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam yang di luar jangkaan.

Malah, indeks penanda aras, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencecah paras penutup tertinggi 1,367 mata pada Selasa sebelum terjejas oleh kenyataan Greenspan itu untuk menutup minggu lalu pada 1,339.08 mata, iaitu penurunan 17.8 mata.

Jumlah dagangan harian turut jatuh kepada 998 juta saham daripada 1.18 bilion saham minggu sebelumnya.

Dengan pembetulan dan jangkaan pengukuhan berterusan minggu ini, apakah opsyen yang ada bagi pelabur?

Seperti yang dinyatakan Februari lalu, asas ekonomi dan kecairan sedia ada dijangkakan melonjakkan KLCI ke paras tertinggi 1,490 mata dalam suku keempat tahun ini.

Ini dijangka dicetuskan oleh pelbagai berita menggembirakan menjelang Bajet 2008, pemberian kontrak utama yang berkaitan Rancangan Malaysia Kesembilan dan spekulasi mengenai kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada suku keempat tahun ini.

Justeru, adalah bijak untuk melaksanakan pendekatan pelaburan serampang dua mata.

Pertamanya, pilih satu strategi bertahan dan melabur dalam sektor yang bakal meraih manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pengguna.

Kenaikan gaji kakitangan awam akan menyumbang secara positif kepada penggunaan domestik dan ekonomi secara keseluruhannya.

KFC dan Courts Mammoth adalah antara syarikat dilihat bakal meraih manfaat itu, selain syarikat yang terbabit dalam sektor peruncitan dan tembakau.

Keduanya, tingkatkan pendedahan dalam saham yang mempunyai asas dan tinjauan pertumbuhan pendapatan kukuh untuk meraih keuntungan modal apabila pasaran kembali kepada kitaran meningkat.

Pada perspektif lebih meluas, tinjauan bagi sektor minyak dan gas serta perladangan masih kukuh dengan harga minyak mentah kembali meningkat ke paras AS$70 setong, sementara harga minyak sawit mentah pula dijangka menuju ke paras RM2,700 setan menjelang akhir tahun.

Justeru, syarikat berkaitan minyak dan gas akan meraih manfaat daripada pelaburan tinggi bagi aktiviti cari gali, pembangunan dan pengeluaran.

Ia disokong pula oleh pelaburan dalam negara antara RM50 bilion dan RM55 bilion bagi loji penapisan dan saluran paip di Semenanjung dan Malaysia Timur.

Dua syarikat yang berpotensi meraih manfaat daripada perkembangan itu ialah Petronas Gas dan KNM Group.

Antara syarikat perladangan pula, saham United Malacca dilihat masih ketinggalan berbanding syarikat perladangan lain.

Sementara itu, di sebalik kebimbangan awal yang dicetuskan kenyataan Greenspan bahawa pasaran saham di China bakal menyaksikan pembetulan secara besar-besaran pada bila-bila masa, pelabur kembali memasuki pasaran apabila pasaran saham negara itu kembali mencatatkan rekod tertinggi dan mengetepikan kenyataan amaran bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS itu.

Justeru, pelabur perlu menumpukan kepada faktor bulis tempatan seperti kenaikan gaji kakitangan awam yang akan meningkatkan perbelanjaan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana pada masa depan.

Lihat pada saham syarikat berkaitan pengguna, perjalanan domestik dan automotif seperti AEON, Air Asia, Plus dan Proton Holdings yang dijangka menyaksikan peningkatan dalam keuntungan.

Berikutan KLCI melepasi paras sokongan kritikal 1,334 mata Jumaat lalu, paras sokongan terdekat kini adalah pada 1,320 mata sementara paras rintangan adalah pada 1,350 mata.

 

Sumber Berita Harian

Posted on May 28, 2007, in Pasaran Saham. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: