2 faktor dorong status syarikat persendirian


Tindakan pemegang saham buktikan kematangan pasaran

HARGA saham yang tidak mencerminkan nilai sebenar dan mahukan kawalan penuh dalam menentukan hala tuju syarikat adalah antara faktor yang mendorong pemegang saham utama beberapa syarikat di Bursa Malaysia untuk mencadangkan menjadikan syarikat yang mereka kuasai sebuah syarikat persendirian.

Penganalisis berkata, arah aliran berkenaan bagaimanapun bukan sesuatu yang membimbangkan, sebaliknya ia mencerminkan kematangan bursa saham tempatan.

Mereka berkata, ia juga bukan petunjuk bahawa pasaran saham negara ini sudah tidak menarik lagi kerana di sebalik langkah menjadikan syarikat terbabit syarikat persendirian, Bursa Malaysia terus menerima penyenaraian baru.

Sejak beberapa bulan lalu sekurang-kurangnya sembilan syarikat di Bursa Malaysia mengumumkan cadangan untuk dijadikan syarikat persendirian oleh pemegang saham utama masing-masing.

Antaranya ialah Maxis Communications Bhd, PBB Oil Palms Bhd dan Berjaya Capital Bhd (BCap).

Ketua Penganalisis di SJ Securities Sdn Bhd, Cheah Kim Yong, berkata walaupun pasaran saham tempatan menyaksikan peningkatan kukuh kebelakangan ini dengan penanda aras utama, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IK) mencecah paras tertinggi baru dalam sejarah, tetapi kenaikan itu lebih tertumpu kepada saham mewah terpilih.

Berikutan itu, katanya, masih banyak lagi syarikat yang walaupun mempunyai asas yang kukuh tetapi diniagakan di bawah nilai.

Beliau berkata, ada juga pemegang saham utama yang berpendapat, dengan mengembalikan syarikat kepada status persendirian akan memberikan mereka kuasa penuh, sekali gus membolehkan keputusan dibuat lebih cepat, tanpa melalui proses panjang seperti mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham lain, atau pematuhan peraturan penyenaraian.

Ini, katanya, akan mempercepatkan lagi rancangan pengembangan syarikat dan meningkatkan nilainya.

“Dua faktor itu mendorong pemegang saham utama menawarkan membeli baki saham syarikat terbabit, sekali gus menjadikan syarikat terbabit sebuah syarikat persendirian,” katanya.

Cheah berkata, ini dapat dilihat daripada keputusan pemegang saham terbesar Maxis, T Ananda Krishnan untuk mengeluarkan syarikat itu daripada senaraian di Bursa Malaysia dan menjadikannya syarikat persendirian.

“Usaha menjadikan Maxis syarikat persendirian dilihat sebagai langkah pertama Ananda untuk meraih dana di luar negara bagi pengembangan pelaburannya di Indonesia dan India,” katanya.

Langkah itu, katanya, membolehkan Ananda menggunakan asetnya dengan lebih bebas untuk membiayai dua pelaburan utamanya di luar negara jika ia memerlukan modal yang besar daripada apa yang boleh ditawarkan Maxis.

Faktor serupa juga, katanya adalah pendorong kepada pemegang saham utama PBB Oil Palms Bhd untuk menjadikannya syarikat persendirian.

“Mungkin PBB Oil Palms merasakan Singapura dapat memberikan penilaian lebih tinggi,” katanya.

Cheah berkata, pemegang saham utama sanggup menawarkan harga tinggi bagi mendapatkan baki saham yang belum dimiliki kerana melihat potensi lebih jauh yang dapat diraih sesebuah syarikat itu selepas ia dijadikan syarikat persendirian.

Katanya, bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) pula, mengembalikannya kepada status persendirian adalah program transformasi yang memberikan manfaat ketara kepada pemegang sahamnya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik OSK Research Sdn Bhd, Kenny Yew, berkata mengembalikan syarikat senaraian awam sebagai syarikat persendirian adalah proses biasa yang mencerminkan kematangan bursa tempatan.

“Ini tidak bermakna Bursa Malaysia kini kurang tarikannya. Ada syarikat yang akan dikeluar senarai, sama ada secara sukarela atau disebabkan tidak mematuhi syarat penyenaraian (PN17), dan akan ada syarikat baru yang akan disenaraikan.

“Ini perkara biasa. Ia adalah proses berterusan yang berlaku di mana-mana bursa saham,” katanya.

Dalam tempoh hampir enam bulan lalu, Bursa Malaysia menyaksikan sekurang-kurangnya 15 penyenaraian baru dengan yang terbaru, Help International Corp Bhd pada Khamis minggu lalu.

Sumber Berita Harian

Posted on May 27, 2007, in Pasaran Saham. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: