Hukum riba dan forex masih heboh?


E-Kamus-Malaysia

Walaupun ada pandangan dan fatwa yang mengatakan bahawa faedah bank itu harus, tetapi pandangan dan fatwa ini tidak popular di negara ini.

Di antara ulama yang berkata begitu ialah Syeikh al-Azhar sekarang Dr. Mohamed Sayed Tantawi, bekas Syeikh al-Azhar Syeikh Mahmud Shaltut,Syeikh Rashid Redha dan Syeikh Muhammad Abduh.

Mungkin di antara sebab orang kita tidak dapat menerima pandangan dan fatwa yang menganggap faedah bank itu harus kerana mereka dididik supaya berpegang dengan satu pandangan dan tidak boleh berbeza.

Di bawah ini petikan rencana mengenai faedah bank yang dianggap harus oleh ramai ulama yang pernah disiarkan dalam Mingguan Malaysia keluaran 4/11/2002. Kita bincang secara rasional, nyatakan apa yang kita setuju dan tidak setuju dengan menyebut hujah-hujah yang dipercayai relevan dan kuat.

Insya-Allah kita akan kemukakan banyak lagi pandangan ulama tentang perkara ini. Bacalah dan berfikirlah.

Ada berpendapat bahawa nilai matawang sekarang dengan masa yang akan datang adalah tidak sama sebaliknya juga nilai wang di masa lepas.

”INSTITUSI agama tertinggi di Mesir, Universiti Al-Azhar bercadang untuk mengeluarkan fatwa rasmi mengharuskan pengambilan faedah bank yang dipanggil dengan istilah baru, pulangan (al-aai’d), bukan lagi faedah kerana istilah itu lebih difahami sebagai riba atau bunga menurut istilah perbankan yang diguna pakai pada hari ini.

Fatwa berani Al-Azhar ini dijangka ditentang oleh banyak pihak sama ada di dalam mahupun di luar Mesir. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa banyak juga pihak yang menyokong fatwa Al-Azhar itu.

Ini kerana faedah bank itu sendiri sebenarnya merupakan masalah hilafiah yang menyebabkan perbezaan pandangan di kalangan ulama sejak bank-bank mula diperkenalkan kepada umat Islam.

Malah apa yang dianggap riba dan bukan riba itu juga menjadi tajuk perbezaan pandangan para ulama sejak beratus-ratus tahun.

Ini kerana ayat-ayat al-Quran yang memperuntukkan pengharaman riba itu tergolong daripada ayat-ayat terakhir yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w., iaitu ayat-ayat yang memutuskan hukuman terhadap orang yang makan atau mengambil riba.

Tetapi Rasulullah tidak sempat melaksanakan peruntukan hukum yang mengandungi ayat-ayat berkenaan dengan memberi contoh di alam nyata secara lebih sempurna seperti dengan peruntukan-peruntukan hukum yang lain.

Al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menceritakan bahawa ayat-ayat riba tergolong daripada ayat-ayat al-Quran terakhir yang diturunkan. (Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, juz 1, muka surat 152).

Hal demikian menjadi masalah dan kemusykilan bukan sedikit kepada ulama. Dengan itu Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya berkata, bab riba merupakan bab yang paling bermusykil bagi ramai ulama. (Tafsir Ibn Kathir, juz 1, muka 328).

Itulah antara punca yang menyebabkan berlaku perbezaan pandangan ulama terdahulu mengenai riba dan seterusnya berlaku pada zaman ini mengenai faedah bank.

Sesetengah ulama berkata riba itu haram secara mutlak. Sesetengah yang lain berpendapat, ada riba yang halal seperti memberi lebihan wang kepada orang yang meminjamkan wang kepada kita sebagai hadiah atau sedekah.

Mengenai faedah bank pula ada yang mengatakan ia merupakan bunga yang haram seperti pendapat ramai ulama zaman ini termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Tetapi ada pula yang berkata faedah bank itu halal, tetapi bukan secara mutlak seperti Syeikh Al-Azhar Syeikh Dr. Mohammed Sayed Tantawi dan ulama-ulama sebelum beliau seperti bekas Syeikh Al-Azhar, Syeikh Mahmoud Shaltut, Syeikh Rashid Redha, Syeikh Mohammad Abduh dan lain-lain.

Kembali kepada fatwa terbaru Al-Azhar, badan penyelidikan akademik Al-Azhar, Majma al-Buhuth al-Islamiah yang mengadakan perjumpaan pada 31 Oktober lalu memutuskan bahawa faedah bank adalah halal dan Al-Azhar akan mengeluarkan fatwa rasmi mengenainya tidak lama lagi.

Perjumpaan yang dipengerusikan oleh Dr. Tantawi itu dihadiri oleh Menteri Wakaf Mesir Dr. Mahmoud Hamdi Zaqzouq, Rektor Universiti Al-Azhar Dr. Omar Hashim, Mufti Rumah Fatwa Mesir, Dr. Ahmad al-Taiyyeb, Syeikh Mohammed al-Rawi, bekas Rektor Al-Azhar, Dr. Abdel Fattah al-Syeikh, Dr. Badr al-Meniyawi, Dr. Abdel Muti Baiyumi, Dr. Abdel Rahma Al-Adawi, Dr. Mohammad Rafat Othman, Dr. Sofi Abu Taleb, Dr. Taha Abu Krisha, Dr. Mohammed Ibrahim al-Faiyumi, Dr. Ragab al-Baiyumi dan Dr. Hassan Zaki Abbas.

Dua daripada ahli Majma al-Buhuth al-Islamiah [Persidangan Kajian Islam] iaitu Dr. al-Syeikh dan Dr. Othman menentang fatwa menghalalkan faedah bank itu.

Bagaimanapun, Dr. al-Syeikh tidak menentang sepenuhnya fatwa berkenaan kerana pada dasarnya beliau bersetuju dengannya, tetapi tidak bersetuju menghalalkannya secara mutlak kerana beliau menganggap transaksi kewangan berbeza daripada satu bank dengan bank yang lain.

Beliau menuntut dinilai setiap transaksi kewangan sesetiap bank itu secara objektif di mana jika ia tidak bercanggah dengan hukum Islam, diharuskan dan jika sebaliknya, diharamkan.

Beliau berkata, melaburkan wang dalam bank itu harus kerana bank tersebut dianggap menjadi wakil pelabur, tetapi bank tidak melaburkan wang yang diamanah kepadanya itu untuk projek-projek yang bercanggah dengan hukum Islam seperti mendirikan kilang arak, ladang pemeliharaan babi dan perkara-perkara haram yang lain.

Pandangan Dr. al-Syeikh ini sebenarnya tidak begitu berbeza dengan pandangan lama Dr. Tantawi ketika beliau masih menjadi mufti Rumah Fatwa Mesir [Darul Ifta`] pada tahun 1980-an dan 1990-an. Ini kerana Dr. Tantawi juga berpendapat bahawa hanya bank-bank nasional yang faedahnya dianggap halal.

Sedangkan bank-bank yang dimiliki oleh orang luar terutama
Yahudi dianggap haram.

Ahli Majma al-Buhuth al-Islamiah kedua yang menentang fatwa menghalalkan faedah bank iaitu Dr. Mohammed Ra’fat Othman pula menolak fatwa tersebut secara mutlak.

Ini kerana beliau menganggap faedah bank dalam semua bentuk adalah haram belaka walaupun diandaikan ia bukan riba kerana mudarabahnya dianggap tidak sah.

Mudarabah bermaksud kongsi untung rugi (profit-loss-sharing) dalam pelaburan atau perniagaan. Menurut pandangan fiqh yang dipegang oleh Dr. Othman ini, pelaburan atau perniagaan itu mesti ada unsur untung dan rugi atau berisiko baru boleh dianggap sah dari segi hukum.

Dr. Tantawi dan majoriti ahli Majma al-Buhuth al-Islamiah tidak berpegang pada pandangan fiqh itu, sebaliknya mereka mengikut pandangan fiqh yang lain, yang memperuntukkan bahawa pelabur atau penyimpan wang dalam bank untuk pelaburan berhak memperoleh jaminan bahawa pelaburannya selamat dan pulangannya terjamin.

Menurutnya, tidak berlaku penganiayaan jika berlaku sesuatu terhadap bank kerana ia milik negara atau dijamin olehnya.

Dengan itu mereka mengharuskan pelaburan wang dalam bank yang menetapkan kadar pulangan (keuntungan) terlebih dahulu kerana perbuatan itu dianggap sebagai al-wikalah (perwakilan) yang bermaksud bank menjadi wakil kepada pelabur dalam melaburkan wangnya dalam projek-projek pembangunan ekonomi negara.

Pelaburan dalam bank seperti itu tidak dianggap bersubahat dengan riba dan tidak dianggap seseorang itu menindas ke atas orang lain.

Dr. Baiyumi berkata bahawa apa yang diputuskan oleh Majma’ al-Buhuth al-Islamiah ialah dibenarkan melaburkan wang dalam bank yang ditetapkan pulangan terlebih dulu untuk dilaburkan. Ini bererti wang yang dilaburkan dalam bank itu bertujuan untuk pelaburan dan bukan untuk mengambil faedah tanpa pelaburan.

Menurut Dr. Abdel Mu’ti al-Baiyumi, seseorang yang melaburkan wang untuk mendapatkan pulangan dalam bank seperti itu tergolong daripada al-wikalah yang tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Selain itu ia menetapkan pulangan juga dapat memberi perlindungan kepada penyimpan atau pelabur dan ia tidak dianggap riba kerana perkara itu berlaku antara kerajaan (bank-bank kerajaan atau bank-bank jaminannya) dan
rakyat.

Fatwa Majma’ al-Buhuth itu dianggap bercanggah dengan keputusan persidangan Majma’ al-Buhuth al-Islamiah kedua yang diadakan di Kaherah pada tahun 1965.

Persidangan yang dihadiri 35 buah negara itu memutuskan secara konsensus bahawa faedah bank dalam segala bentuk dianggap haram berdasarkan nas-nas yang muktamad daripada al-Quran dan sunah.

Malah ia juga dianggap bercanggah dengan keputusan persidangan kedua Majlis Perhimpunan Fiqh Islam (Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami) yang diadakan di Jeddah pada 22-28 Disember 1985.

Perhimpunan Fiqh Islam adalah salah satu pertubuhan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Begitu juga dengan ketetapan persidangan Majlis Fiqh Islam yang diadakan di Mekah pada 23-30 Mac 1989.

Perlu diterangkan bahawa semua keputusan persidangan tersebut dibuat berdasarkan pandangan fiqh yang dipegang oleh Dr. Othman seperti yang disebut di atas. Ia tidak sama sekali berdasarkan nas-nas yang muktamad seperti didakwa.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dan ramai ulama lain di dunia Arab turut berpegang dengan pandangan fiqh yang sama.

Malah jika kita merujuk kepada perdebatan antara dua golongan yang berpegang dengan pandangan fiqh berbeza ini didapati bahawa Dr. al-Qaradawi adalah penentang Dr. Tantawi. Dr. Tantawi ketika itu belum lagi dilantik menjadi Syeikh Al-Azhar, tetapi beliau telah pun menjadi mufti Rumah Fatwa Mesir.

Penulis pernah membincangkan mengenai perdebatan antara dua ulama besar Mesir itu dalam tulisan-tulisan yang lalu. Jadi tidak perlu diulang perbincangan di sini sekali lagi.

Pokoknya ketika itu ramai yang menyokong Dr. al-Qaradawi termasuk bekas Syeikh Al-Azhar, al-Marhum Syeikh Gadul Had Ali Gadul Haq.

Ulama-ulama dalam Majma al-Buhuth al-Islamiah yang terlibat dalam mengeluarkan fatwa menghalalkan faedah bank di atas walaupun ada yang dikenali menyokong Dr. Tantawi ketika itu, tetapi semuanya berdiam diri kerana tidak dapat melawan arus.

Tetapi selepas lebih 15 tahun baru mereka berani muncul bersama Dr. Tantawi dan menyediakan fatwa yang mungkin sedikit masa nanti menjadi kecoh di seluruh dunia Islam.

Selain itu Dr. al-Qaradawi sendiri semakin kurang menyerang Dr. Tantawi selepas Dr. Tantawi dilantik menjadi Syeikh Al-Azhar pada pertengahan tahun 1990-an.

Malah Dr. al-Qaradawi juga semakin kurang membincangkan tentang faedah bank selepas beliau turut mengkritik apa yang dipanggil bank Islam atau bank muamalat.

Penubuhan cawangan muamalat di bank-bank konvensional yang menggunakan konsep riba juga dikritik oleh beliau.” Petikan Mingguan Malaysia keluaran 24/11/2002.

Neuimex Forex Trading

belajarforexmarketiva

Posted on March 26, 2007, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: