Bahrain minat buka operasi perbankan di Malaysia


MADINAH 26 Feb. – Hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perbankan dan kewangan Islam sedunia semakin menunjukkan tanda-tanda positif apabila Bahrain pula menyatakan minat untuk membuka operasi di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat ini tiga buah bank, setiap satu dari Kuwait, Arab Saudi dan Qatar telah mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuka operasi perbankan dan kewangan Islam di Malaysia.

Kuwait Finance House adalah yang pertama membuka operasi di Malaysia dan bank itu sedang merancang untuk mengambil alih RHB Bank, katanya pada perjumpaan dengan 80 pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah, di sini malam tadi.

Najib dalam rangka lawatan kerja seminggu di Arab Saudi sejak Jumaat lalu.

Turut hadir pada perjumpaan itu ialah Duta Malaysia ke Arab Saudi Datuk Dr. Ismail Ibrahim. Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Syed Bakri Syed Abdul Rahman dan Konsul Pendidikan Malaysia di Jeddah, Muhammad Radhi Hamzah.

Beliau berkata, Bank Al Rajhi dari Arab Saudi pula sudah memulakan operasi di Malaysia dan merancang membuka 50 cawangan secara berperingkat di Malaysia dalam beberapa tahun akan datang.

Sementara sebuah lagi bank iaitu Qatar Islamic, Global Investment House dan RUSD Investment Inc. yang merancang beroperasi di bawah satu konsortium masih belum memulakan operasinya, tambah beliau.

Najib berkata demikian semasa menjawab soalan daripada seorang pelajar yang ingin mengetahui perkembangan cadangan kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab perbankan dan kewangan Islam sedunia.

Beliau berkata, perkembangan cadangan itu sangat memberangsangkan dan usaha membangunkan modal insan di peringkat domestik harus dilaksanakan bagi memenuhi keperluan sektor itu yang dijangka akan terus berkembang.

‘‘Persoalannya sekarang ialah apakah pembangunan modal insan domestik pada masa ini seimbang dengan kemajuan dalam perbankan dan kewangan Islam di negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, negara memerlukan lebih ramai pelajar untuk mendalami bidang perbankan dan kewangan Islam bagi membolehkan negara melahirkan lebih ramai pakar Islam dalam bidang tersebut.

Sementara itu, Najib turut menggesa syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari Malaysia merebut peluang dalam projek Bandar Pengetahuan Ekonomi Madinah (KEC) yang melibatkan kos kira-kira RM25 bilion (25 bilion riyal) yang akan dibangunkan oleh Seera City Real Estate Development Corporation (Seera City) mulai Ogos ini.

Katanya, Seera City mempelawa syarikat-syarikat ICT dari Malaysia setelah mereka berkeyakinan dengan kemampuan syarikat Malaysia terutama kemampuan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) melaksanakan projek e-Madinah pada 2004.

– Utusan

Posted on February 25, 2007, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: