Kewangan Islam semakin meriah


Oleh DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

PELANCARAN sebuah lagi institusi perbankan Islam antarabangsa, Bank Ar-Rajhi awal minggu ini cukup menggambarkan keseriusan kerajaan menjadikan Malaysia pusat atau hab kewangan Islam antarabangsa.

Ada orang bertanya kepada penulis apakah kehadiran bank-bank Islam antarabangsa seperti Ar- Rajhi, Kuwait Finance House (KFH) dan Asian Islamic Bank akan memberi kesan negatif kepada institusi perbankan Islam tempatan sedia ada?

Apakah dengan beroperasinya bank-bank Islam berstatus gergasi ini akan menandakan masa depan yang kelam bagi bank-bank Islam tempatan?

Sesungguhnya penyertaan institusi perbankan Islam ini seharusnya ditanggapi secara positif. Dari sudut ekonomi, kehadiran bank-bank Islam terbesar dunia seperti Ar-Rajhi dan KFH pastilah akan meluaskan lagi pasaran kewangan Islam negara.

Persaingan secara sihat mampu merangsang bank-bank Islam agar lebih inovatif dan berdaya maju bukan sahaja dalam mempelbagaikan produk kewangan menepati syarak bahkan memastikan perkhidmatan yang lebih baik dan cekap dapat diberikan.

Selain itu keterlibatan bank-bank Islam gergasi dalam pasaran kewangan Islam Malaysia akan meningkatkan lagi reputasi dan imej negara khususnya dalam menarik pelabur-pelabur dari Asia Barat untuk menyalurkan dana mereka ke negara ini. Ini akan mempercepatkan lagi proses menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa yang terunggul.

Penyertaan itu juga diharapkan mampu menjadi pencetus kepada usaha jangka panjang dan wahana pembuka jalan bagi mempertingkatkan kerjasama perdagangan dan jalinan ekonomi yang lebih mantap sesama negara Islam.

Memang pelabur-pelabur dari negara Islam Asia Barat amat dikenali sebagai antara kelompok pelabur yang paling banyak melabur di luar negara. Dalam satu laporan oleh sebuah firma konsultan antarabangsa Merril Lynch/Gemini pada 2001, anggaran dana milik individu warga Arab Saudi, UAE, Kuwait dan negara-negara rantau Teluk yang berada di luar negara adalah berjumlah AS$1,194 bilion.

Dilabur

Malangnya, dana ini kebanyakannya dilabur di negara-negara bukan Islam terutamanya Amerika Syarikat (AS). Namun peristiwa 11 September merobah segala-galanya. Sikap prejudis dan layanan buruk AS dan sekutunya terhadap umat Islam sedikit sebanyak mencetuskan kesedaran baru di kalangan umat agar tidak terlalu bergantung kepada Barat dalam aspek ekonomi dan pelaburan.

Umpamanya, selepas peristiwa 11 September itu banyak dana umat Islam tidak kira milik syarikat kewangan komersial seperti Dallah Al-Barakah, Bank Taqwa (Switzerland) ataupun badan-badan kebajikan seperti Al-Wafa dibekukan atau dirampas. Perbendaharaan AS pernah melaporkan bahawa sejak 11 September lebih AS$3.1 bilion dana umat Islam dibeku ataupun dirampas atas nama mengekang saluran dana kepada pengganas. Malangnya rampasan dibuat hanya berasaskan syak wasangka tanpa bukti kukuh.

Di sinilah pentingnya umat menjadikan al-Quran sebagai pedoman: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meletakkan kepercayaan kepada orang-orang di luar kalanganmu kerana mereka tidak akan berhenti menimbulkan kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh kami telah terangkan kepadamu ayat-ayat Kami jika kamu memahaminya (al-Maidah: 118).

Fenomena diskriminasi dan layanan buruk terhadap umat Islam mendorong pelabur-pelabur Islam mulai mencari tapak baru pelaburan dana-dana mereka. Menyedari peluang inilah institusi-institusi perbankan dan kewangan antarabangsa seperti HSBC, Deutsche Bank, ABM Amro, Citibank Group dan Merrill Lynch memperkenalkan produk-produk kewangan Islam.

Lebih ironi lagi Singapura turut mengisytiharkan impian mereka menjadi hab kewangan Islam antarabangsa. Hatta negara Israel yang dimaklumi kekejaman mereka terhadap umat Islam pun mulai bernafsu terhadap sistem kewangan Islam.

Tidak sukar untuk menelah sikap dan reaksi luar biasa negara dan institusi-institusi kewangan barat terhadap konsep kewangan Islam. Keterlibatan mereka hanyalah kerana dorongan komersial yang bermatlamatkan keuntungan. Keterlibatan mereka bukanlah kerana keyakinan terhadap konsep muamalah. Jauh sekali untuk mengharapkan mereka berpegang kepada prinsip-prinsip syarak dalam perniagaan.

Justeru sebarang usaha kerajaan dalam menggalakkan perkembangan sektor kewangan Islam tanah air haruslah didukung dan disokong oleh umat Islam. Malangnya ketika ini hanya sekitar 11 peratus warga Malaysia memanfaatkan sistem perbankan Islam (lihat Laporan Bank Negara 2005). Jika keadaan ini berterusan pastilah cita-cita besar menjadikan Malaysia peneraju hab kewangan Islam antarabangsa hanya tinggal impian. Akhirnya umat akan terus bergelumang dengan elemen-elemen haram seperti riba yang diharam keras oleh Allah dan Rasul-Nya.

Sumber-Utusan Online

Posted on February 9, 2007, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: