Skim Usahawan Siswazah


KUALA LUMPUR 31 Jan. – Tabung Usahawan Siswazah yang ditubuhkan pada 1998 gagal mencapai matlamatnya kerana syarat-syarat yang dikenakan terlalu ketat sehingga menjadi penghalang kepada siswazah untuk mendapatkan pembiayaan bagi menceburi bidang perniagaan.

Setelah hampir sembilan tahun diwujudkan, hanya 10 peratus daripada 6,000 siswazah yang pernah menjalani kursus Skim Usahawan Siswazah, iaitu syarat utama sebelum memohon bantuan tabung itu, berjaya memperoleh kemudahan pembiayaan tersebut.

Difahamkan ia berpunca daripada syarat yang terlalu ketat dikenakan iaitu pemohon perlu menyediakan cagaran 20 peratus daripada jumlah pinjaman serta permohonan kena disokong oleh penjamin.

Tabung Usahawan Siswazah menawarkan skim pinjaman antara RM20,000 hingga RM250,000.

Seorang bekas peserta kursus Skim Usahawan Siswazah, Zaihal Hazri Abdul Halim, 34, berkata, dua syarat itu ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum pinjaman perniagaan kepada siswazah diluluskan.

“Ia sememangnya membebankan. Malah dalam kursus yang saya hadiri pada 8 Januari lalu di Kuala Lumpur, pembimbing sendiri mengakui dua syarat tersebut merupakan halangan paling besar kepada golongan siswazah menceburi perniagaan walaupun mereka amat berminat menceburi bidang itu.

“Sebagai siswazah yang baru menamatkan pengajian sudah tentu kami tidak ada wang cagaran seperti yang diminta. Syarat itu terlalu berat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Institut Keusahawanan Negara (Insken) pada Oktober tahun lalu, jumlah dana yang diperuntukkan untuk Tabung Usahawan Siswazah ialah RM100 juta.

Dalam kenyataannya, Insken turut melaporkan sepanjang Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sebanyak RM20 juta pinjaman perniagaan telah diberikan kepada 247 siswazah.

Zaihal Hazri yang merupakan pengusaha kedai telekomunikasi di Pulau Pinang berkata, dalam kursus yang dihadirinya, pembimbing memberitahu daripada 40 peserta pada setiap kursus, tidak sampai tiga orang yang menghantar permohonan untuk mendapatkan pembiayaan daripada Tabung Usahawan Siswazah.

“Bayangkan seorang siswazah yang baru sahaja menamatkan pengajian… sudah tentu mereka tidak ada wang cagaran. Itu belum dikira pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang perlu dijelaskan.

“Bagi mereka yang membuat permohonan di bawah RM50,000, mereka tidak perlukan cagaran tetapi harus menyediakan penjamin. Sekarang ini bukan mudah untuk kita hendak mencari penjamin,” kata siswazah lulusan Universiti Malaya itu.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak kementerian mengkaji semula syarat sedia ada supaya usahawan muda yang memohon pembiayaan melalui tabung itu tidak perlu menyediakan cagaran atau penjamin.

Seorang lagi bekas peserta kursus Skim Usahawan Siswazah, Mohd. Eddy Hamzani Mohd. Podzi, 25, berkata, tujuannya menyertai kursus itu adalah untuk memohon pinjaman daripada tabung berkenaan bagi memperluaskan lagi perniagaannya.

Malangnya dia patah semangat apabila pegawai Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (Bank SME) memberitahu setiap permohonan perlu ada cagaran bagi pinjaman lebih RM50,000 dan kena menyediakan penjamin jika pinjaman di bawah RM50,000.

“Saya amat berharap syarat untuk mendapatkan pinjaman itu dapat dilonggarkan. Saya faham dana itu adalah wang rakyat tetapi saya percaya kementerian tentulah mempunyai mekanisme yang lebih baik bagi memastikan pembayaran balik pinjaman.

“Kita tidak mahu hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai siswazah menyertai bidang perniagaan akhirnya gagal disebabkan syarat-syarat yang terlalu ketat,” kata siswazah Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu.

Rafidah Mohd. Rani, 28, yang juga bekas peserta kursus berkenaan turut menyuarakan keluhan yang sama.

Dia yang berkelulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, apa yang ditawarkan melalui tabung tersebut hampir menyamai tawaran yang disediakan oleh bank-bank komersial.

“Kita menghadiri kursus ini dengan harapan mudah mendapatkan pinjaman tetapi perkara yang kita harapkan tidak berlaku. Saya amat berharap unsur cagaran dan penjamin ini dihapuskan.

“Ia perlu digantikan dengan mekanisme yang lebih mesra siswazah supaya lebih ramai siswazah menceburi bidang perniagaan,” tambahnya.

Penubuhan Tabung Usahawan Siswazah bertujuan menggalakkan lulusan universiti menceburi bidang perniagaan seperti perkilangan, pengangkutan, perkhidmatan, pelancongan dan francais.

Semua pinjaman diuruskan oleh Bank SME dengan had maksimum pinjaman RM250,000 dan minimum RM20,000. Nilai pinjaman yang diberi bergantung kepada pelan perniagaan yang dikemukakan oleh siswazah.

Posted on February 1, 2007, in Alam Mahasiswa. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: