Saddam digantung


SEBELUM memasangkan tali gantung di lokasi hukuman gantung dijalankan, yang dipercayai salah satu pusat seksaan ketika pemerintahan Saddam, di Baghdad, Iraq subuh semalam.

BAGHDAD 30 Dis. – Saddam Hussein, tokoh yang mencetuskan kontroversi kerana tentangan kerasnya terhadap Washington, menghembuskan nafas terakhir selepas menjalani hukuman gantung sampai mati hari ini.

Hukuman ke atas Saddam, yang memerintah Iraq selama 24 tahun, dijalankan serentak dengan permulaan sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut oleh pengikut fahaman Sunah di Iraq hari ini.

Pelaksanaan hukuman itu sekali gus menjadikan Saddam sebagai ‘korban’ pertama Aidiladha di Iraq dan mencetuskan kemarahan umat Islam di negara-negara lain.

Perjalanan terakhir bekas pemimpin berusia 69 tahun itu sekali gus memberi ‘kemenangan’ kepada Amerika Syarikat (AS) yang seakan-akan tidak sabar-sabar untuk mengakhiri nyawa musuh utamanya itu.

Undang-undang Iraq tidak membenarkan mereka yang berusia lebih 70 tahun menjalani hukuman gantung sampai mati.

Saddam berusia 70 tahun pada 28 April depan.

Washington yang menumbangkan rejim Saddam apabila tentera AS menceroboh Iraq pada 20 Mac 2003, sehingga kini masih belum berjaya mengekang keganasan di negara Teluk itu dan gagal mengesan senjata pemusnah besar-besaran.

Saddam ditangkap pada 13 Disember 2003 manakala dua anak lelakinya, Uday dan Quassay, mati di tangan tentera penceroboh dalam serangan ketenteraan dua tahun lalu.

Sesetengah penganalisis politik berkata, keadaan tidak selamat di Iraq memang ‘dicipta’ oleh Washington untuk meneruskan hasratnya berada di negara yang kaya dengan hasil minyak itu.

Berita mengenai pelaksanaan hukuman ke atas Saddam disambut dengan ‘tenang’ oleh penduduk Baghdad dan kerajaan juga tidak mengenakan perintah berkurung seperti yang dilakukan sewaktu Saddam dijatuhi hukuman mati pada 5 November lalu.

Bagaimanapun, di Sadr City iaitu bandar yang menjadi kubu kuat pengikut Syiah, penduduk menyambut berita itu dengan penuh gembira.

Mereka bersorak dan menari dengan riang sambil melepaskan tembakan ke udara bagi meraikan kematian bekas pemimpin yang didakwa menindas penduduk Syiah sewaktu beliau berkuasa.

Seorang imam di sebuah masjid di Najaf iaitu kota suci Syiah menganggap hukuman ke atas Saddam itu sebagai “satu kurniaan Allah kepada rakyat Iraq dan kemenangan untuk pengikut Syiah.”

Stesen televisyen Iraqiya awal pagi ini melaporkan, adik tiri Saddam tetapi berlainan bapa, Barzan Ibrahim al-Tikriti serta bekas ketua Mahkamah Revolusi Iraq, Awad Hamed al-Bandar turut digantung bersama Saddam.

Bagaimanapun, berita itu dinafikan oleh Penasihat Keselamatan Negara, Mouwafak al-Rubaie, yang turut hadir sewaktu Saddam digantung di premis milik Kementerian Kehakiman di sini.

Mouwafak berkata, Saddam digantung pagi ini kerana kerajaan Iraq mahu melakukannya pada ‘hari istimewa’, merujuk kepada Aidiladha yang disambut oleh pengikut Sunah Iraq hari ini.

Berita kematian Saddam itu disambut dengan sedih oleh para pengikut Sunah khususnya anggota parti Baath, parti pimpinan Saddam dan sekali gus mencacatkan sambutan Hari Raya Korban yang sepatutnya disambut dengan meriah.

Ditanya sama ada Saddam melawan sewaktu beliau dibawa ke tali gantung, Mouwafak berkata: “Tidak, beliau menyerah sepenuhnya.”

Kata Mouwafak, seorang hakim membacakan hukuman yang akan dijalankan ke atasnya sewaktu Saddam dibawa masuk ke dalam bilik hukuman dengan tangan bergari.

“Beliau tidak meminta apa-apa. Beliau membawa al-Quran dan meminta kami memberi kitab suci itu kepada seseorang yang beliau panggil Bander,” katanya.

Mouwafak tidak kenal siapakah ‘Bander’ yang dimaksudkan oleh Saddam itu.

Mouwafak memberitahu, proses pelaksanaan hukuman itu turut dirakamkan dengan kamera video.

Saluran-saluran televisyen Iraq juga menunjukkan jenazah Saddam yang ditutup dengan kain putih.

Stesen Iraqiya telah menyiarkan lagu kebangsaan Iraq sebaik sahaja pengumuman pertama mengenai hukuman itu dibuat dan turut memancarkan tulisan berbunyi: “Hukuman ke atas Saddam merupakan penamat kepada detik hitam dalam sejarah Iraq.”

Hukuman ke atas Saddam dijalankan 56 hari selepas Tribunal Tinggi Iraq mensabitkan Saddam terlibat dalam kes pembunuhan 148 penduduk Dujail iaitu sebuah perkampungan Syiah pada 1982.

Mahkamah Rayuan Iraq pada 26 Disember telah menolak rayuan yang dikemukakan oleh barisan peguam bekas Presiden itu dan mengarahkan agar beliau digantung dalam tempoh 30 hari dari tarikh tersebut.

Sementara itu, dalam satu perutusan akhir yang disiar menerusi Internet, Saddam berkata, beliau telah menyerahkan hidupnya kepada Iraq sebagai sebahagian usaha untuk menentang penjajahan AS terhadap umat Islam.

“Di sini saya menawarkan nyawa saya sebagai korban untuk Allah dan jika Dia mahu, Dia akan menghantar roh saya ke syurga sebagai seorang yang syahid,’’ kata beliau.

Peguamnya, Issam Ghazzawi berkata, surat itu ditulis oleh Saddam 5 November lalu iaitu pada hari dia dijatuhi hukuman mati.

Mesej Saddam turut menggesa rakyat Iraq memadamkan kebencian antara puak dan sebaliknya bersatu menentang penceroboh.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pejuang Arab Sunah yang menentang pencerobohan AS.

“Selamat panjang umur untuk semua mujahidin dan mereka yang melakukan jihad,’’ tegasnya.

Menurut Saddam, mereka perlu berjuang dan seterusnya menyerahkan segala-galanya kepada Allah.

“Insya-Allah, Dia akan membantu kita mengusir musuh itu,” jelasnya.

Seorang lagi peguam Saddam, Najeeb al-Nauimi berkata, jenazah Saddam dijaga oleh tentera penceroboh bagi mengelakkan mayatnya dihina oleh pengikut Syiah yang akhirnya akan menyemarakkan lagi kemarahan penduduk Sunah.

“Sebenarnya ini ialah tanda berakhirnya era Iraq kerana selama 35 tahun pemerintahan parti Baath, Iraq melalui kegemilangannya.

“Saya percaya rakyat Iraq akan terus mengingati Saddam kerana seperti seorang jihad yang syahid, beliau mati demi mempertahankan negaranya daripada dihina oleh musuh,’’ kata Najeeb dari Doha, Qatar.

Saddam berjaya membangunkan Iraq sebagai sebuah negara Arab moden tetapi perang selama lapan tahun dengan Iran menyebabkan ekonomi negara itu mula jatuh.

Beliau menggunakan pemerintahan diktator bagi menyatupadukan rakyat Iraq yang mempunyai pelbagai kabilah dengan tiga kumpulan utama penduduk iaitu Arab Syiah, Arab Sunah dan Kurdis.

– AP

Posted on December 30, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: