MIER: Mekanisme lindung mata wang perlu


MOHAMED ARIFF ABDUL KAREEM.

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Bank pusat di Asia perlu membentuk satu mekanisme bagi perundingan dasar kadar pertukaran untuk melindungi kestabilan mata wang mereka, demikian menurut satu kumpulan pemikir.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), dalam membuat saranan itu berkata, langkah sedemikian juga membuka peluang untuk memulakan aktiviti kemungkinan mewujudkan mata wang bersama.

Pengarah Eksekutifnya, Profesor Emeritus Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, dasar kadar pertukaran diselaras boleh meminimumkan ketidakstabilan di kalangan mata wang Asia Timur.

“Sebagai contoh, jika sesebuah negara mahu membeli dolar Amerika Syarikat, semua negara Asia Timur akan melakukan perkara yang sama,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Mohamed Ariff berkata, proses rundingan perlu dibentuk bagi semua negara Asia Timur, satu langkah yang boleh membawa kepada kemungkinan mewujudkan mata wang bersama.

“Mata wang Asia tunggal merupakan satu cadangan yang sangat menarik.

“Ia bukannya baru dan kita telah pun membincangkan perkara ini sejak beberapa tahun lalu. Saya rasa ia merupakan satu langkah berani tetapi Asia Timur masih lagi belum bersedia untuknya,” katanya.

Ini, kata Mohamed Ariff, berlaku disebabkan perbezaan di kalangan negara-negara Asia Timur dari segi pembangunan, keluaran dalam negara kasar (KNDK) per kapita dan kepentingan nasional.

“Terlalu banyak kepelbagaian dan satu mata wang untuk memenuhi semua negara kelihatan masih jauh dari jangkauan buat masa ini. Tetapi saya rasa idea itu tidak sepatutnya diabaikan,” katanya.

“Ia satu impian yang berbaloi dan kita perlu mengenepikannya dahulu untuk diuruskan kemudian hari. Ia (bagaimanapun) mungkin memakan masa berdekad-dekad lamanya untuk menjadikannya satu realiti,” katanya.

Mohamed Ariff berkata, dengan perdagangan sesama Asia Timur kini menyumbang lebih 50 peratus daripada perdagangan serantau, negara-negara Asia Timur perlu mempunyai kadar pertukaran yang stabil.

“Meskipun kadar pertukaran mereka berbanding dolar, pound sterling atau euro mungkin tidak menentu, tidak sepatutnya ada banyak pergerakan di kalangan mata wang mereka sendiri bagi mengekalkan kestabilan,” katanya.

Mohamed Ariff berkata, sebaik sahaja mekanisme perundingan dilaksanakan, tahap kedua sepatutnya menjurus ke arah rejim pertukaran tunggal bagi Asia Timur.

“Kita boleh bermula dengan bersetuju bagi kumpulan mata wang yang sama.

“Kita boleh bermula dengan wajaran yang berbeza tetapi kelak kita boleh mengusahakan wajaran yang seragam bagi semua kumpulan kadar pertukaran,” katanya.

Menurutnya, ini menjadi cara untuk bergerak ke arah satu mata wang tunggal.

“Pertama proses perundingan, kemudiannya penyelarasan diikuti kumpulan yang sama, wajaran yang sama dan anda semakin hampir dengan mata wang bersama,” katanya.

Mohamed Ariff berkata, dalam keadaan sekarang, adalah lebih wajar untuk memikirkan mata wang tunggal di kalangan negara ASEAN.

“Malahan, kita sebelum ini pernah mempunyai mata wang bersama antara Malaysia, Singapura dan Brunei,” katanya sambil menambah, ia bagaimanapun gagal disebabkan perbezaan kepentingan yang besar di kalangan negara terbabit.

Meskipun menyedari sukar bagi negara-negara ASEAN untuk mewujudkan satu mata wang tunggal, Mohamed Ariff berkata pilihan itu mungkin satu pertimbangan yang berharga di kalangan beberapa negara anggota.

“Kita boleh katakan, satu mata wang bersama di kalangan negara asal ASEAN dan satu lagi mata wang bagi anggota baru. Dan kelaknya ia pasti akan menjadi realiti,” katanya.- Bernama

Posted on December 21, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: