Jangan pandang serong pertemuan Dr M-Soros


Pertemuan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tokoh kewangan antarabangsa, George Soros tidak sepatutnya dipandang serong, kata beberapa pemimpin Umno hari ini.

Sebaliknya, mereka berpendapat, ia adalah suatu yang positif untuk negara dan keamanan sejagat.

“Saya amat menghargai pertemuan antara Dr Mahathir dan Soros itu. Orang Melayu, tak kira ahli PAS atau Umno, patut berbangga kerana ada pemimpin Melayu yang mampu menarik seorang tokoh kewangan terkemuka berbangsa Yahudi, duduk berbincang masalah dunia,”kata ketua Pemuda Umno Merbok, Abdul Karim Ali.

Menurutnya, kehadiran Soros di negara ini sepatutnya digunakan sebaik mungkin bagi melobi isu-isu keamanan segajat, terutama berkaitan konflik Palestin-Israel kerana tokoh kewangan itu secara terus-terang membantah keganasan rejim Yahudi di Asia Barat.

“Pertemuan Dr Mahathir dengan Soros itu tidak patut dipandang serong, itu hak dia. Sepatutnya kita memanggil dua atau tiga orang lagi orang seperti Soros ke negara ini bagi menyokong agenda antarabangsa kita.

“Dengan mengadakan hubungan baik dengan beberapa tokoh berpengaruh ini, lama kelamaan kita akan dapat mengimbangi dan mengawal pengaruh Yahudi Amerika dan Presiden Bush,”katanya bagi mengulas pertemuan Dr Mahathir dengan Soros pada Jumaat lalu.

Sebelum ini, terdapat kalangan ahli Umno yang memandang serong pertemuan tersebut dengan menuduh bekas Perdana Menteri itu sebagai pengkhianat kerana bersetuju bertemu tokoh kewangan yang suatu ketika dulu disifatkannya sebagai penyangak matawang.

‘Tidak anti-Yahudi’

Naib Ketua Umno bahagian Kangar, Perlis, Datuk Hashim Subuh pula menyifatkan pertemuan tersebut sebagai suatu yang amat menarik dan bijaksana.

“Ini satu perkembangan yang amat menarik, kita menunjukkan kebijaksanaan kita berurusan dengan tokoh antarabangsa. Ini juga membuktikan bahawa kita tidak anti-Yahudi.

“Yang kita tentang selama ini ialah Zionis bukannya Yahudi sebagai satu bangsa yang juga mempunyai kaitan dengan umat Arab yang lain,”katanya ketika dihubungi.

Hashim berkata, pendirian Soros yang anti-keganasan Israel itu patut digunakan bagi menyebarkan agenda keamanan global dan membela nasib rakyat Palestin.Dalam pertemuan itu Jumaat lalu, kedua-dua tokoh berbincang selama kira-kira sejam yang merangkumi pelbagai perkara kecil hingga ke isu perjuangan Palestin dan kempen memerangi keganasan.

Soros juga dikatakan telah bertanya Dr Mahathir tentang keadaan politik tempatan, khususnya Umno dan isu rasuah. Tokoh kewangan itu juga turut membangkitkan isu-Yahudi yang pernah menjadi salah satu “perbalahan” besar antara beliau dengan Dr Mahathir satu ketika dulu.

Soros menjelaskan, beliau sebenarnya sering bercanggah pendapat dengan fahaman Yahudi di Amerika, terutama kumpulan “neo-konservatif” yang kini menjadi perancang utama dasar luar negara tersebut.
Beliau juga menyatakan tidak setujunya terhadap pendirian kumpulan Yahudi Amerika yang terlalu menyokong Israel secara membuta tuli.

Posted on December 21, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: