Gara-gara tali leher, pertemuan Dr M-Soros terlewat


Pertemuan antara Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tokoh kewangan dunia, George Soros pada Jumaat lepas terlewat gara-gara “tali leher”.

Menurut anak sulung bekas Perdana Menteri itu, Datuk Marina Mahathir, Soros tiba agak lewat dan tokoh kewangan itu memberikan alasan beliau terlambat kerana “tidak menjumpai tali lehernya.”

Marina yang hadir dalam pertemuan itu mendedahkan proses pertemuan kedua-dua tokoh itu di dalam laman blognya RantingbyMM.

Menurut rencana yang ditulisnya itu, pertemuan itu berlangsung di “suite Presiden” sebuah hotel terkemuka di ibunegara.


“Di dalam suite itu kami menunggunya…menunggu dan menunggu. Saya berasa resah. Ayah saya tidak suka menunggu…”tulis Marina.

Akhirnya Soros tiba dan beliau menjelaskan terlewat kerana terpaksa mencari tali lehernya. Spekulator kewangan berusia 76 itu memakai baju tanpa tali leher dan berkot warna biru manakala Dr Mahathir, 81, memakai baju ala-Nehru berwarna kelabu.

Kedua-dua tokoh itu berbincang selama kira-kira sejam meliputi pelbagai perkara kecil hingga ke isu perjuangan Palestin dan kempen memerangi keganasan.

“Setelah perbincangan menjadi rancak, semakin jelas kedua-dua mereka mempunyai banyak persamaan dalam pelbagai isu global,” kata Marina.

Sebelum pertemuan itu, Soros telah mengadakan pertemuan dengan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan dan menghadiri forum anjuran Persatuan Alumni London School of Economics Malaysia di Kuala Lumpur.

Soros juga dikatakan telah bertanya Dr Mahathir tentang keadaan politik tempatan khususnya Umno dan isu rasuah.

“Jelas sekali Soros telah diberi taklimat jelas tentang perkembangan Umno. Beliau bertanya tentang perjalanan perhimpunan Umno yang baru lalu dan apa kesannya kepada hubungan kaum di Malaysia.

“Dr Mahathir menyatakan beliau tidak berapa gembira dengan perhimpunan agung Umno itu dan melahirkan kebimbangannya terhadap cara anak-anak muda dibesarkan tanpa interaksi rapat dengan kaum lain. Ayah saya juga mengakui negara ini menghadapi masalah rasuah tetapi tidaklah seteruk negara-negara lain.” tambah Marina.

Anti-Yahudi

Menurut tulisan Marina itu lagi, Soros turut membangkitkan isu-Yahudi yang pernah menjadi salah satu “perbalahan” besar antara beliau dengan Dr Mahathir satu ketika dulu.

Soros menjelaskan beliau sebenarnya sering bercanggah pendapat dengan fahaman Yahudi di Amerika Syarikat terutamanya kumpulan “neo-konservatif” yang kini menjadi perancang utama dasar luar negara tersebut.

“Kata Soros tidak semua orang Yahudi di Amerika bersetuju dengan semua perkara yang kumpulan itu buat, oleh itu tidak pernah wujud konsipirasi Yahudi. Dr Mahathir pula menjelaskan label “anti-Yahudi” padanya diberikan oleh media-media Barat walaupun beliau sering mengkritik sikap orang Islam.

“Menurut Dr Mahathir, dalam mesyuarat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di KL pada 2003, beliau sebenarnya mengkritik sikap orangt Islam dan mahu mereka berubah dan mencontohi orang Yahudi tetapi pihak media hanya membesar-besarkan kritikan tentang Yahudi.” ujar Marina lagi.

Soros juga mengakui beliau pernah disalah lapor berhubung perkara yang sama.

Kata Marina, Soros juga menyatakan beliau tidak bersetuju dengan pendirian kumpulan Yahudi Amerika yang terlalu menyokong Israel secara membuta tuli.

Soros turut membangkitkan pengaruh besar Jawatankuasa Bertindak Politik America-Israel (Aipac), yang mempunyai pengaruhi besar dalam Kongres Amerika,

Menurut Marina, Soros telah atau sedang menubuhkan sebuah pertubuhan untuk bersaing dengan Aipac.

Marina bagaimanapun menyatakan, kedua-dua tokoh itu tidak menyentuh krisis kewangan 1997-1998 dalam pertemuan tersebut.-Sumber Malaysiakini.com

Posted on December 21, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: