Mahathir Dan Soros Bertemu Empat Mata Bincang Soal Keamanan Dunia


KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Lawan menjadi kawan apabila isu yang dibincangkan adalah mengenai soal keamanan dunia dan tanggapan itu menjadi kenyataan apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjumpa empat mata dengan orang yang pernah digelarnya “penyangak mata wang”, George Soros.

“Terdapat beberapa perkara kami bersependapat seperti masalah di Palestin, mengenai tindakan sepihak Amerika dan kesilapan-kesilapan (yang telah dilakukan oleh Presiden Amerika George) Bush,” kata bekas perdana menteri itu.

Soros, yang kini berada di Malaysia untuk mempromosikan buku terbarunya, “The Age of Fallibility”, ingin bertemu Dr Mahathir yang pernah menuduhnya sebagai bertanggungjawab menyerang mata wang negara-negara Asia sehingga menyebabkan berlakunya krisis ekonomi di sebahagian besar Asia pada 1997/1998.

Bagaimanapun, isu mengenai kewangan tidak banyak disentuh dalam pertemuan itu yang diadakan di Hotel JW Mariott di sini. Sebaliknya Soros memberitahu bahawa alasan beliau ingin bertemu Dr Mahathir ialah kerana beliau berkongsi minat dengan bekas perdana menteri itu untuk mempromosikan keamanan dunia selepas kedua-dua mereka saling berutus surat.

Pada sidang akhbar kemudian, Dr Mahathir berkata beliau menerima penjelasan Soros bahawa beliau secara peribadi tidak terlibat dalam spekulasi mata wang itu dan kejatuhan nilai ringgit adalah disebabkan pedagang-pedagang mata wang yang lain.

Kedua-dua personaliti itu yang kini kelihatan seperti dua sahabat baik, bersetuju bahawa mereka lebih bimbangkan mengenai soal ketamadunan masa depan.

Kedua-dua mereka telah membincangkan mengenai usaha-usaha menjadikan peperangan satu jenayah walaupun mereka bersetuju bahawa kadangkala peperangan tidak dapat dielakkan. Mereka juga melihat perlunya diselesaikan masalah di Timur Tengah dan kedua-duanya juga tidak bersetuju dengan cara pentadbiran Bush bertindak balas terhadap serangan pengganas.

“Dalam memerangi keganasan, kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak daripada melakukan perbuatan serupa. Pentadbiran Bush sebaliknya bersungguh-sungguh untuk mengaibkan, menyiksa rakyat Iraq. Kesan daripada itu, lazimnya pihak lain di seluruh dunia akan memandang Amerika sebagaimana pengganas memandang mereka,” kata Soros.

Justeru itu, katanya, sukar bagi orang awam Amerika untuk memahami kenapa mereka dianggap seolah-olah penjenayah juga sedangkan mereka diketahui berniat baik.

“Cara kami cuba memerangi pengganas telah mewujudkan keadaan itu. Kami melakukan perkara-perkara yang salah, yang tidak produktif. Ia bukan saja tidak mengurangkan ancaman pengganas, malah meningkatkannya lagi,” kata beliau.

Beliau berkata masyarakat awam Amerika sedar mengenai perkara itu dan telah menolak dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Amerika.

Soros berharap Amerika akan mula sedar akan semua kesilapannya dan akan mengambil pendekatan berlainan dengan menangani punca sebenar bantahan itu.

“Terutamanya di Palestin di mana penyelesaian secara tentera tidak sepatutnya digunakan tetapi sebaliknya diselesaikan dengan cara politik.

“Persoalannya ialah hendaklah dicari jalan bagaimana memulakan semula proses politik itu. Ia memanglah sukar memandangkan banyak kerosakan yang telah dilakukan. Adalah diharapkan ia belum terlambat,” katanya.

Justeru, Soros menyokong doktrin mengenai tanggungjawab untuk melindungi di mana masyarakat antarabangsa mempunyai kewajipan untuk mempertahankan rakyat daripada pemerintah mereka.

“Mengikut doktrin yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, kedaulatan adalah milik rakyat tetapi kadang-kadang pemerintah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada mereka untuk melaksanakan kedaulatan itu, dengan menindas rakyat mereka sendiri, dengan melakukan kekejaman dan pembunuhan kaum,” katanya.

Katanya doktrin yang baik itu perlu diperkukuhkan lagi tetapi malangnya, cara Amerika bertindak dengan menceroboh Iraq secara sewenang-wenangnya dan secara sendirian telah menyebabkan sukar hendak menjadikan doktrin itu lebih penting dan dipersetujui oleh masyarakat antarabangsa.

Soros berharap Amerika akan menukar dasar-dasarnya dan doktrin itu dapat digunakan untuk memelihara keamanan dan mengelakkan pembunuhan kaum di negara-negara individu.

Dr Mahathir, sementara itu, berkata masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan dan bukannya oleh sebuah negara tunggal dan adalah salah bagi Amerika untuk bertindak secara sendirian.

Bagaimanapun, kata Soros, bekas Presiden Iraq Saddam Hussein adalah seorang yang zalim.

“Apa yang perlu dibuat kepada orang yang zalim adalah satu daripada beberapa masalah yang belum dapat diselesaikan oleh orde dunia yang ada. Doktrin ini adalah satu cara untuk menangani masalah ini dan arah yang hendak dituju,” kata beliau.

Pada sidang akhbar itu, Dr Mahathir mengulangi bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi menentang apa yang berlaku di Palestin di mana Israel menggunakan cara-cara pengganas untuk mengatasi keganasan yang dilakukan oleh rakyat Palestin.

“Itu cara yang salah untuk menyelesaikan masalah. Punca sebenar masalah itu perlulah ditangani terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas lanjut dakwaan kononnya beliau anti-Yahudi, Dr Mahathir berkata kritikan beliau bukan sahaja terhadap bangsa Yahudi tetapi terhadap orang Islam juga.

“Saya percaya sekiranya seseorang melakukan apa juga kesalahan, orang lain berhak mengkritiknya tidak kira sama ada mereka orang Islam atau Yahudi,” katanya.

— BERNAMA

Posted on December 15, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: