Soros akan lawat M’sia, dijangka temui Dr M


Pelabur antarabangsa dan spekulator matawang terkemuka dunia, Geroge Soros akan melawat Malaysia minggu ini dan mungkin mengadakan pertemuan dengan “musuhnya”, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami telah berutus surat sebelum ini dan mungkin satu pertemuan akan diadakan jika kesihatan beliau (Dr Mahathir) mengizinkan,” kata Soros kepada malaysiakini dalam satu wawancara eksklusif menerusi emel.

Kunjungan Soros, 76, ke negara ini adalah atas jemputan Persatuan Alumni London School of Economics (LSE) Malaysia dan beliau dijadualkan berucap di satu majlis anjuran persatuan itu di ibunegara Jumaat ini.

“Persatuan alumni LSE pernah menjemput saya sebelum ini. Memandangkan saya juga ahli alumni LSE dan dalam rangka lawatan ke rantau ini, saya bersetuju menerima pelawaan mereka,” katanya.

Ini merupakan kunjungan pertama Soros ke negara ini walaupun beliau telah beberapa kali melawat negara-negara Asia Tenggara.

Dalam lawatannya kali ini, Soros merancang bertemu dengan pelbagai pihak, termasuk ahli perniagaan, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin gerakan sivil. Bagaimanapun tumpuan umum ialah pada pertemuannya dengan Dr Mahathir.

Dr Mahathir ketika ini sedang berehat selepas diserang sakit jantung ringan pada 9 November lalu.

Pertemuan Soros dengan bekas Perdana Menteri itu, jika terjadi, akan menjadi satu titik tolak penting dalam perhubungan mereka yang “tegang” sebelum ini.

Kira-kira sedekad lalu, Dr Mahathir menyalahkan Soros sebagai punca terjadinya krisis kewangan di rantau Asia. Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, menuduh Soros sebagai penyangak matawang yang mahu menghancurkan ekonomi negara-negara kecil sedang membangun.

Dr Mahathir telah memanggil Soros “moron” yang mahu meruntuhkan ekonomi negara dengan menjual matawang negara berkenaan manakala jutawan kewangan itu pula, dalam serangan balasnya, menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai perosak negara.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini kedua-dua tokoh ini telah berlembut dan menunjukkan tanda-tanda untuk berbaik-baik.

Perang mulut

Dalam wawancara dengan malaysiakini awal tahun ini, Soros telah membayangkan kesediaaannya untuk bertemu Dr Mahathir.

“Saya rasa Dr Mahathir telah membuat sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia tetapi, sebagaimana tokoh-tokoh besar lain, beliau juga tidak dapat lari daripada melakukan beberapa kesilapan besar. Sebenarnya terdapat banyak persamaan dalam cara berfikir kami dan saya gembira jika dapat berdialog dengannya,” katanya.

Soros membina reputasi dalam dunia kewangan antarabangsa pada tahun 1992 apabila beliau meramalkan matawang Pound Sterling tidak akan dapat bertahan jika Bank England mengapungkannya di pasaran matawang.

Tekaan Soros itu tepat apabila nilai Pound Sterling merudum sebaik sahaja ia diapung di pasaran terbuka dan beliau mengaut keuntungan segera 1 bilion Pound. Bagaimanapun difahamkan, Bank Negara Malaysia yang turut menjalankan spekulasi matawang di London ketika itu, turut mengalami kerugian kira-kira 1 bilion Pound kerana bertindak bertentangan dengan jangkaan Soros.

Sejak itu, tokoh kewangan antarabangsa keturunan Yahudi ini telah menyumbang sebahagian kekayaannya untuk melahirkan apa yang dipanggilnya ‘masyarakat terbuka’, satu konsep kehidupan yang menekankan demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan pasaran terbuka. Konsep tersebut dipelajari Soros dari tutornya di LSE, Karl Popper.

Berdasarkan pengalamannya ditindas oleh pemerintahan kejam, Hitler semasa dibesarkan di Hungry semasa Perang Dunia Kedua, Soros telah melabur dalam beberapa yayasan dan pertubuhan untuk mempromosi demokrasi dan konsep ‘masyarakat terbuka’ itu.

Soros juga merupakan pengkritik kuat Presiden Amerika, George W. Bush dan beliau telah memberi sumbangan kepada pelbagai pertubuhan di negara itu untuk menumbangkan Bush dalam pilihanraya 2004.

Spekulator matawang ini juga telah menerbitkan sebuah buka berjudul ‘The Age of Fallibility’ yang antara lain mendesak Amerika mengubah dasar luarnya dan mempersoalkan kewajaran ‘perang terhadap keganasan’ yang dilancarkan oleh Bush.

Posted on December 11, 2006, in Catatan Pedagang Online. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: