BNM jamin wang pengguna ditipu diganti


Oleh JOHARDY IBRAHIM dan AMRAN AHMAD
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan pihak bank akan mengembalikan wang pengguna yang menanggung kerugian akibat ditipu dalam urus niaga Internet.

Bagaimanapun, kata bank pusat itu, ganti rugi akan hanya dibayar sekiranya pengguna itu terbukti tidak bersalah atau cuai sehingga membolehkan mereka ditipu.

‘‘Pelanggan tidak seharusnya bertanggungjawab ke atas kerugian yang tidak berpunca daripada mereka, selagi mereka tidak cuai,’’ kata BNM dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut BNM, kedua-dua pihak iaitu institusi perbankan dan pengguna harus mengambil langkah bagi memastikan transaksi perbankan Internet adalah selamat untuk dijalankan.

Katanya, semua institusi perbankan adalah dikehendaki oleh BNM untuk memastikan sistem perbankan Internet masing- masing memiliki ciri-ciri keselamatan yang mencukupi.

‘‘Pengguna juga perlu memainkan peranan untuk memastikan keselamatan transaksi perbankan mereka melalui Internet,’’ katanya.

Menurut BNM, secara keseluruhannya, institusi perbankan yang menawarkan perkhidmatan perbankan Internet telah mendapat kelulusan daripada bank pusat dan mematuhi keperluan garis panduan minimum yang dikeluarkan.

Ia, ujarnya, adalah bagi memastikan bank-bank tersebut bersedia dari segi infrastruktur keselamatan dan program pengurusan risiko bagi menjamin kewibawaan dan kerahsiaan maklumat pelanggan serta transaksi perbankan melalui Internet.

Antara langkah keselamatan yang telah diambil oleh institusi perbankan ialah melaksanakan ujian penembusan untuk mengenal pasti; mengasing dan mengesahkan kemungkinan ataupun keberangkalian kesilapan berlaku ke atas perlaksanaan kata laluan; dinding keselamatan dan penyulitan utuh atau encryption.

BNM berkata, ujian penembusan tersebut dilakukan oleh pihak berkecuali yang bertauliah sekurang-kurangnya sekali setahun atau setiap kali perubahan dilakukan terhadap sistem keselamatan bank tersebut.

‘‘Agensi berkecuali ini menyediakan aturan bagi keselamatan Internet untuk memastikan infrastruktur yang dijamin selamat dan menggunakan pelbagai teknologi keselamatan seperti penyulitan utuh, dinding keselamatan, log keluar automatik, alat pantau serta memasang sistem untuk mengesan dan menggagalkan serangan penceroboh.

‘‘Ia juga melaksanakan pengesahan dua faktor bagi setiap transaksi yang berisiko seperti pemindahan dana kepada pihak ketiga dan pembayaran bil,’’ kata BNM.

Pengesahan dua faktor ialah proses mengenal pasti identiti seseorang melalui pengesahan terhadap sesuatu yang diketahui pelanggan iaitu data pengesahan (ID) log masuk dan kata laluan.

Ia meliputi sesuatu yang dimiliki pelanggan, seperti sijil digital dan kata laluan sekali guna yang diperoleh atau dibekalkan melalui sistem pesanan ringkas dan sesuatu ciri peribadi pelanggan seperti ciri-ciri biometrik, contohnya cap jari dan corak anak mata.

Selain itu, ia juga menjalankan pemeriksaan berkala setiap enam bulan sekali untuk menilai tahap risiko yang mungkin wujud dan mengesan kelemahan yang mungkin terdapat pada sistem pengurusan risiko institusi perbankan.

BNM berkata, kebelakangan ini terdapat beberapa ancaman keselamatan terhadap penggunaan perbankan Internet termasuk penipuan melalui penghantaran e-mel dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) palsu.

Ia digunakan bagi mengumpan penerima agar mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor pengenalan peribadi (PIN) atau kata laluan perbankan Internet untuk mereka melakukan penipuan identiti.

‘‘Dalam kes-kes ini, pengguna telah diperdaya untuk mendedahkan ID log masuk dan kata laluan atau nombor PIN, termasuk pengesahan dua faktor mereka kepada pihak tertentu.

‘‘Maka, penipuan tersebut tidak melibatkan pencerobohan keselamatan pada sistem perbankan Internet pihak institusi perbankan,’’ kata BNM.

Bergantung kepada setiap kes individu, aduan yang berkaitan penipuan akan disiasat dengan teliti oleh pihak bank.

BNM berkata, adalah amat penting bagi pengguna tidak mendedahkan ID log masuk dan kata laluan atau nombor PIN mereka kepada orang lain.

-Petikan Utusan Online

Posted on October 12, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: