Risiko perbankan Internet?


Risiko perbankan Internet — Pakar komputer pernah ditipu, enggan guna lagi perkhidmatan

Oleh YULPISMAN ASLI
KUALA LUMPUR 11 Okt. – Selamatkah atau yakinkah anda menggunakan perkhidmatan transaksi wang dan urusan seumpamanya menerusi perbankan Internet?

Tahukah anda bahawa laman web perbankan boleh diciplak oleh sesiapa sahaja – daripada murid sekolah sehinggalah kepada penjenayah siber – dalam tempoh satu hingga dua jam sahaja?

Ironisnya, Utusan Malaysia diberitahu oleh seorang pakar komputer tempatan bahawa beliau sendiri tidak mahu lagi menggunakan perkhidmatan itu.

Mengapa? Kerana dia pernah ditipu menerusi perkhidmatan perbankan secara online itu.

‘‘Saya membuat urusan secara talian tetapi bank tidak menerima wang itu. Sekarang saya lebih suka pergi ke bank untuk membuat urusan,’’ kata pakar komputer (yang enggan mendedahkan identitinya) dari sebuah agensi kerajaan itu, di sini hari ini.

Bagi kes yang dialami oleh pakar komputer itu, kegiatan tersebut akhirnya dikesan oleh Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan Teknologi Komunikasi dan Maklumat Negara (NISER).

Fenomena yang berlaku ini adalah nyata.

Semalam polis menangkap empat pelajar universiti dan sembilan yang lain kerana mencipta laman web palsu bank-bank tempatan untuk mencuri maklumat pelanggan sebelum mengeluarkan wang mereka.

Menurut pakar itu lagi, dengan hanya memiliki sebuah komputer, Internet dan perisisan pelayar, seseorang itu boleh mencipta laman web palsu bank sehingga boleh melesapkan berjuta-juta ringgit wang pelanggan.

‘‘Malah untuk mencipta laman web palsu itu, mereka tidak perlukan masa yang lama, hanya kira-kira satu hingga dua jam sahaja,’’ katanya.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan oleh pencipta laman web palsu itu ialah mencipta laman web seakan-akan laman web asal.

Ini boleh dilakukan dengan meniru keseluruhan laman web terbabit, sementara perisian pula boleh didapati di pasaran.

Katanya, kegiatan itu bagaimanapun tidak boleh meniru URL (alamat domain) asal laman web berkenaan kerana ia dilindungi, tetapi mereka boleh mewujudkan rangkaian alternatif sehingga boleh mengelirukan para pelanggan bank terbabit.

‘‘Dalam dunia Internet memang semua boleh buat (mewujudkan laman-laman web palsu bank). Nak tiru bukan susah, sekejap sahaja ,’’ katanya.

Beliau berkata, selalunya, mereka yang tidak mempunyai pengetahuan dan tidak tahu tentang selok-belok dunia IT akan terdedah kepada laman web palsu tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membuat urusan bank secara online bagi mengelak menjadi mangsa.

Semalam, Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Asisten Komisioner Ismail Yatim berkata, polis telah memberkas empat pelajar universiti yang didalangi anak seorang pegawai tinggi kerajaan setelah terlibat dalam kegiatan mencipta laman web palsu bank-bank tempatan untuk mencuri maklumat pelanggan sebelum mengeluarkan wang mereka.

Empat pelajar itu adalah antara 13 orang yang ditangkap kerana terbabit dalam kegiatan jenayah siber terbabit. Mereka ditahan dalam beberapa serbuan sekitar Kelantan, Selangor dan ibu negara.

Modus operandi mereka yang setakat ini telah menyebabkan kerugian sebanyak RM36,000 ialah menghantar e-mel kepada pelanggan bank dan meminta mangsa mengemas kini maklumat akaun bank mereka.

Mereka kemudian meminta mangsa klik pada satu pautan yang tertera di e-mel tersebut kononnya bagi tujuan mengemaskinikan akaun simpanan mereka.

Setelah klik pada pautan itu, mereka disuruh memasukkan nama pengguna dan kata laluan tanpa menyedari laman web tersebut sebenarnya palsu.

Maklumat yang diisi itu akan disimpan secara automatik dalam data yang dicipta sindiket itu, seterusnya memudahkan mereka mengakses akaun bank mangsa dan memindahkan semua wang milik mangsa.Petikan Utusan Online

Posted on October 11, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: