Siasat dulu sebelum ceburi MLM


“Untuk mendapat bonus, anda hanya perlu menaja sekurang-kurangnya tiga ahli baru. Semakin banyak ahli baru yang anda taja semakin banyak bonus yang anda akan peroleh.”

l“Saya berharap akan dinobatkan sebagai seorang jutawan XXXX sebelum mencecah umur 22 tahun. XXXX tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskan pembelajaran. Kejayaan ini akan dikongsi bersama keluarga sebagai membalas jasa mereka selama ini.”

l“XXXX telah melahirkan seramai 80 peratus usahawan Melayu. XXXX juga membuka mata saya untuk mengenali dunia IT dengan lebih meluas. Sistem latihannya banyak membantu saya untuk berjaya dalam perniagaan ini.”

l“Pendapatan lumayan yang XXXX janjikan bukanlah janji-janji kosong. Apa yang penting adalah jalankan perniagaan mengikuti sistem yang disediakan.”

PETIKAN kata-kata di atas adalah sebahagian daripada senario sejenis perniagaan yang begitu popular pada masa ini. Malah bisnes itu dikatakan bukan sahaja melahirkan ramai ahli perniagaan tetapi banyak yang telah bergelar jutawan hasil terlibat dalam perniagaan itu.

Begitupun tidak kurang yang melahirkan rasa tidak puas hati apabila terlibat dalam perniagaan Multi Level Marketing (MLM) atau Pemasaran Secara Bertingkat.

Haslina Mohd. Noor, 37, mempunyai pengalaman tersendiri apabila terlibat dalam MLM baru-baru ini.

Peguam sebuah firma di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur itu berkata, beliau menyertai satu skim MLM milik Syarikat XXX hasil pujukan kawan baiknya sendiri.

“Naluri saya pada awalnya merasakan seperti ada yang tidak kena pada perniagaan itu tetapi saya tidak sempat membuat kajian mengenainya.

“Akibat tidak membuat kajian tersebut, saya sendiri akhirnya terkena (ditipu),” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengenangkan yang mengajak ialah kawan baiknya, Haslina akhirnya bersetuju menyertai MLM itu dengan membayar yuran keahlian lebih RM100.

Walaupun syarikat XXX itu mempunyai produk untuk dipasarkan tetapi produk tersebut hanya menjadi ‘hadiah’ kepada mereka yang berdaftar menjadi ahli atau downline.

“Syarikat itu memberi saya produk makanan kesihatan dan beberapa botol produk jagaan diri sebagai menghargai kesediaan saya untuk mencari ahli yang baru,” katanya.

Bagai ditiup semangat baru, Haslina kemudian berjaya mencari 20 downline dalam tempoh 24 jam sahaja.

“Saya lakukannya semata-mata kerana terpengaruh dengan dakwaan bahawa lebih banyak downline maka lebih banyak bonus yang akan saya peroleh,” katanya.

Masalah mulai timbul apabila Haslina mendapati syarikat MLM itu lewat mendaftar semua senarai downline yang berjaya beliau usahakan itu.

“Dua minggu selepas saya berjaya dapatkan 20 orang downline itu, mereka masih tidak mendaftarkannya.

“Ini diikuti dengan bayaran bonus yang lewat dan kadangkala tidak selari dengan rekod downline yang diperoleh,” katanya.

Tidak cukup kakitangan dan mereka sedang menaikkan taraf sistem laman web dijadikan alasan oleh syarikat itu apabila Haslina mula menyuarakan rasa tidak puas hati.

Tetapi keadaan semakin teruk apabila Haslina tidak memperoleh sebarang faedah daripada syarikat itu lagi.

“Lalu saya sendiri ke pejabat syarikat MLM itu untuk melihat sendiri dan tentunya untuk menuntut bonus-bonus yang dijanjikan,” katanya.

Alangkah terkejutnya Haslina apabila mendapati suasana syarikat itu tidak segah sebagaimana yag diceritakan sebelum ini.

“Sudahlah saya terpaksa menunggu hampir dua jam, yang ada di syarikat itu hanyalah seorang kerani akaun yang sedang menjalankan tugas secara manual,” katanya.

Haslina berasa sangat hampa seolah-olah tertipu. Bertambah hampa apabila pada suatu hari beliau dimaklumkan bahawa pihak tertentu telah mengambil dan menyalahgunakan bayaran bonus yang sepatutnya dibayar kepada ahli-ahli.

“Dia telah lesap bersama kesemua wang milik pendeposit yang saya yakin bernilai hampir jutaan ringgit.

“Saya begitu marah dengan syarikat tersebut yang berselindung di sebalik permit AJL yang mereka miliki. Rupa-rupanya mereka menipu!” kata Haslina.

Beliau kini bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut.

Ini termasuklah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyenarai hitamkan syarikat tersebut dan mengambil tindakan lain yang sewajarnya.

Lantaran itu Haslina menasihatkan para pengguna atau ahli baru syarikat MLM supaya mengkaji dahulu sistem yang diguna pakai.

Sementara itu, seorang juruaudit di sebuah kilang di Kajang, Siti Husna Basir, 28, berkata, beliau meyakini sesetengah perniagaan MLM berunsur syubhah yang boleh jatuh hukumnya sebagai haram jika dilaksanakan.

“Walaupun ramai yang mendakwa perniagaan ini dibenarkan tetapi tidak ada sesiapa yang bercakap bahawa ia turut dibenarkan mengikut Islam,” katanya.

Oleh itu, bekas penuntut sebuah sekolah menengah agama di Kajang, Selangor ini memanfaatkan ilmu fikah dan syariah yang dipelajarinya dahulu bagi menangani masalah ini.

“Apabila perniagaan lebih memfokuskan downline baru dan bukan produk, mesti ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Beliau sendiri seringkali dipujuk dan dipengaruhi oleh pelbagai pihak untuk menyertai perniagaan itu malah beliau pernah menghadiri beberapa ceramah yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat MLM.

Tetapi Siti Husna lebih berminat untuk tunggu dan lihat sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Ada kawan saya sanggup membeli empat buah lot ‘kedai’ dan melabur sebanyak RM400 setiap satu untuk meraih pendapatan berlipat kali ganda.

“Dan mereka memujuk saya supaya menyertai bisnes itu sebagai downline dan berharap saya juga akan membeli empat lot kedai yang disediakan dalam laman web itu.

“Tetapi ketika itu saya masih belajar dan tentunya saya tidak mampu untuk menyediakan duit sebanyak itu untuk dilaburkan,” katanya.

Akhirnya, kata Siti Husna, beliau mendapat tahu kawannya itu tidak mendapat apa-apa malah rugi apabila menyertai perniagaan tersebut.

“Dia terpaksa ‘bungkus’ dengan kedai-kedainya sekali,” katanya.

Pengalaman-pengalaman seperti yang dialami oleh Siti Husna wajar dijadikan pengajaran.

Malah, katanya, beliau akan menyertai mana-mana syarikat jualan langsung hanya kerana ingin menggunakan produk yang dikeluarkan oleh syarikat itu.

“Walaupun pemasarannya mungkin bersifat MLM, tetapi saya menyertai Syarikat T, misalnya, kerana ingin menggunakan barangan plastik yang dikeluarkan oleh syarikat itu.

“Walaupun saya hanya mendapat bonus kerana membeli untuk kegunaan sendiri, itu tidak mengapa,” katanya.

Hal ini turut dikongsi oleh seorang pembaca yang mahu dikenali sebagai Abdullah Hafiz dalam ruangan Forum Pembaca Utusan Malaysia pada 5 September lalu.

Abdullah menyertai sebuah syarikat jualan langsung berkonsepkan MLM yang diuar-uarkan sebagai konsep baru yang menakjubkan, menjana pendapatan dan menjanjikannya jutawan tanpa menjual barang.

“Dengar memang seronok. Memang benar saya tidak perlu jual barang. Saya hanya jual pakej produk dan pendaftaran keahlian kepada orang lain dan begitulah berikutnya kepada rakan niaga saya,” katanya.

Apabila terlibat, barulah dia menyedari syarikat terbabit menangguk di air yang keruh.

“Pakej produk mengandungi beberapa barang untuk kegunaan peribadi yang harganya mahal sampai tidak masuk akal! Bayangkan sekotak kopi mengandungi 10 paket kecil yang khasiatnya dikatakan sungguh menakjubkan itu berharga RM120,” jelasnya.-Sumber Utusan

Posted on September 12, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: