Elak MLM berunsur subahat


belajarforexmarketiva

Oleh: SITI AINIZA KAMSARI

CORAK perniagaan biasa memerlukan perkhidmatan wholeseller (jual secara pukal) bagi membekalkan barangan kepada retailer atau peruncit yang kemudian akan terus menjual produk tersebut kepada para pelanggan.

Di bawah MLM pula, sesebuah syarikat pengeluar melantik ejen pengedar untuk menjual barang atau produk tersebut terus kepada pelanggan. Pelanggan menikmati harga kilang apabila membeli produk tersebut.

Namun, Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Wan Rumaizi Wan Husin berkata, ejen pengedar tidak akan mampu untuk memasarkannya seorang diri.

“Melainkan dia terpaksa melantik ‘kaki’ di bawahnya atau lebih dikenali sebagai downline bagi membantunya memasarkan produk,” katanya.

Peringkat pertama atau level pertama yang dilantik itu akan diberi ganjaran tambahan jika dapat menjual produk tersebut kepada para pelanggan.

“Ganjaran di sini sama ada yang berbentuk mata markah atau ganjaran poin yang dikumpulkan, hadiah-hadiah (kenderaan, rumah, pakej pelancongan dan sebagainya), wang ringgit atau produk jualan secara percuma,” katanya.

Peringkat pertama yang dilantik perlu membuat pembayaran pendaftaran atau terpaksa membeli set produk permulaan. Lazimnya mereka akan berusaha untuk menjual produk tersebut.

“Mereka cuba merebut ganjaran-ganjaran yang ditawarkan sehinggalah di satu peringkat mereka sendiri akan melantik downline seterusnya untuk membantu membuka pasaran dengan lebih luas.

“Lebih banyak produk yang dijual akan memberi banyak keuntungan kepada semua yang terlibat,” katanya,

Perniagaan seperti ini, kata Wan Rumaizi, berdaftar di bawah Akta Jualan Langsung (AJL) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebagai badan yang memantau pergerakan atau operasi syarikat-syarikat yang berteraskan MLM.

“Jika dibuka laman web kementerian itu, kita akan dapati senarai syarikat MLM yang mematuhi semua peraturan jualan langsung.

“Maklumat itu saja sudah boleh membantu orang ramai menentukan yang mana satu syarikat MLM yang dibenarkan sebelum mereka menyertainya.

“MLM akan disenarai hitam apabila pihak kementerian mendapati mereka beroperasi secara skim piramid atau binari,” katanya.

Wan Rumaizi berkata, pernahkah para peserta MLM bertanya adakah perniagaan MLM mematuhi kehendak syarak? Lebih-lebih lagi pihak syarikat itu sendiri?

Jika syarikat itu benar-benar mematuhi peraturan jualan langsung atau mengikut kaedah MLM yang sebenar, Islam menerima bentuk perniagaan seperti itu dan mengkategorikannya sebagai harus.

“Tetapi yang lebih dikhuatiri apabila di atas kertas syarikat itu merupakan syarikat jualan langsung MLM tetapi secara operasi mereka menggunakan teknik Skim Piramid.

“Jika berlaku keadaan seperti ini tidak sesiapa yang mengetahui hatta pihak kementerian sendiri,” katanya.

Isunya timbul apabila seorang ejen pengedar tidak lagi ‘berniaga’ kecuali membekalkan produk dan hanya mengutip ganjaran.

“Downline dikerah untuk mencari, menaja atau menambahkan downline yang sedia ada tanpa perlu membuat tumpuan terhadap jualan produk itu sendiri,” katanya.

Wan Rumaizi mendapati ketika perniagaan jualan langsung diperkenalkan pada akhir tahun 1990-an, kebanyakan syarikat pada masa itu benar-benar mematuhi peraturan.

“Malah mereka begitu menekankan mutu atau kualiti produk supaya ia menjadi produk yang berprestij dan tidak didapati dalam pasaran biasa,” katanya.

Tetapi sejak kebelakangan ini beliau mendapati produk barangan itu hanya sebagai syarat untuk mendapatkan AJL.

“Yang lebih menjadi tumpuan adalah usaha menambahkan downline hingga kepada jumlah yang tidak dihad, dikawal atau infiniti,” katanya.

Ini yang menyebabkan ada ‘kepala’ yang melarikan diri apabila sebegitu banyak deposit dapat dikaut,” katanya.

Ia membawa kepada fenomena sejenis lagi bentuk perniagaan yang diuar-uarkan sebagai hibrid daripada perniagaan MLM dan e-dagang. Ada yang menggunakan istilah e-wallet.

Menurut Wan Rumaizi, perniagaan seperti itu tidak lebih satu penjenamaan semula daripada beberapa aktiviti perniagaan yang sama sebelum ini.

“Dahulu kita ada Skim Cepat Kaya, Labu Peram, Pak Man Telo dan sebagainya. Skim itu tidak ada bezanya dengan skim yang ada sekarang.

“Semuanya berselindung di sebalik menggunakan Sistem Piramid yang diisytiharkan ‘haram’ oleh pihak Kementerian,” katanya.

Apakah kesan sistem downline?

“Istilahnya sama seperti kita dikehendaki membeli seekor burung tetapi burung itu masih lagi terbang di udara. Atau membeli ikan, tapi ikan itu masih belum ditangkap, masih di laut atau di kolam ternakan.

“Saya dapati tiada apa yang diniagakan oleh pengusaha-pengusaha ini,” tegasnya.

Wan Rumaizi membuat kesimpulan bahawa perniagaan itu tanpa disedari mempunyai unsur atau elemen gharar (penipuan) di dalamnya.

“Jadi bagaimana Islam dapat membenarkan perniagaan seperti itu dilakukan?” katanya.

Wan Rumaizi berkata, MLM yang mirip kepada Skim Piramid wajar mendapat perhatian pihak berkuasa agama.

“Kita memerlukan satu pendirian yang segera dan tegas daripada Majlis Fatwa Kebangsaan bagi menentukan status sebenar perniagaan MLM,” katanya.

Ramai umat Islam turut terpengaruh dan terlibat dalam perniagaan itu apabila mereka diberitahu si polan-si polan tokoh agama turut terlibat dalam perniagaan tersebut.

“Adakah ini sudah cukup untuk memberi justifikasi kepada umat Islam melibatkan diri mereka dalam bisnes yang meragukan itu,” katanya.

Wan Rumaizi percaya MLM versi Skim Piramid itu bukan satu persoalan yang rumit atau furuk dalam perundangan Islam.

“Ini hanyalah satu persoalan yang begitu asas. Iaitu apabila tidak ada sebarang produk atau perkhidmatan spesifik yang ditawarkan, Islam tidak dapat mengenal pasti ia merupakan satu bentuk perniagaan yang dibenarkan.

“Berusaha untuk mencari tajaan atau downline bukan satu kegiatan ekonomi yang sihat,” katanya.

Beliau berharap pengusaha atau syarikat MLM tidak mengambil kesempatan dengan cara yang tidak sihat untuk menarik masyarakat menambah pendapatan mereka.

“Secara keseluruhan MLM boleh diharuskan dalam Islam jika mereka tidak menyalah guna prinsip al Jua’lah (reward system).

“Tetapi jika perniagaan itu bukan satu pergerakan produk dari peringkat ia dikeluarkan di kilang yang akhirnya sampai kepada pengguna, maka tentunya ia boleh dihukumkan haram,” ujar Wan Rumaizi.-Sumber Utusan

belajarforexmarketiva

Posted on September 12, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: