Umat harus manfaat kuasa ekonomi


null

Oleh Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

DUNIA pasti tidak akan melupakan peristiwa bersejarah pada 17 Oktober 1973 apabila buat pertama kalinya selepas kejatuhan empayar Islam terakhir, negara-negara Arab bersatu. Dan ketika itu negara Arab Saudi di bawah pimpinan Raja Faisal.

Selaku pengeluar minyak terbesar bersama anggota Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC), Arab Saudi telah membuat keputusan penting menghentikan pengeluaran minyak dan penghantarannya ke Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah.

Keputusan dibuat setelah negara-negara tersebut jelas bersekongkol dengan Israel yang ketika itu sedang berkonflik dengan Syria dan Mesir. Natijahnya, dunia mengalami krisis tenaga dan minyak paling serius dalam sejarah abad ke-20 sehingga mencetuskan kegawatan ekonomi yang cukup getir. Bursa Saham New York (NYSE) umpamanya mengalami kerugian sebanyak $97 billion dalam masa enam minggu. Disebabkan tekanan ini, Israel akhirnya akur untuk menamatkan kempen keganasannya ke atas negara Islam.

Persoalannya apakah sejarah solidariti umat Islam ini mampu berulang kembali? Bersediakah negara-negara Islam bersatu dalam mendepani sekian banyak tragedi penindasan yang dideritai umat Islam di pelbagai rantau dunia ketika ini?

Namun hakikatnya, negara Islam yang menjadi pengeluar minyak menolak penggunaan bahan api sebagai `senjata’ untuk `mengajar’ Israel dan sekutunya yang memporak perandakan bumi Palestin dan Lebanon. Tentunya sikap ini melenyapkan sama sekali impian melihat umat Islam buat kesekian kalinya bersatu.

Lebih menyedihkan wujud segelintir ulama Saudi yang sanggup mengeluarkan fatwa menghalang puak Sunni di Lebanon terlibat secara langsung membantu Hizbullah yang berfahaman Syiah.

Fenomena ini cukup menggambarkan betapa parahnya solidariti umat Islam kini. Mujurlah beberapa ulama antarabangsa seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Mesir Sheikh Ali Gomaa dan Pertubuhan Ulamak Islam Antarabangsa (IUMS) pantas menolak fatwa tersebut yang disifatkan langsung tidak mencerminkan prinsip dan nilai-nilai Islam yang hakiki.

Kedaulatan

Menurut Al-Qaradawi krisis di Lebanon bukan sekadar pertembungan antara puak Syiah-Israel, sebaliknya pemerkosaan kedaulatan dan pencabulan nilai kemanusiaan serius oleh Israel ke atas umat keseluruhannya. Keserakahan Israel yang menumpahkan darah manusia yang tidak berdosa, membinasakan punca rezeki dan memusnahkan bangunan dan tempat tinggal bukan hanya melibatkan penduduk Syiah, bahkan seluruh warga Lebanon tidak kira Islam Sunni, Syiah, Duruz mahupun Kristian.

Sebab itulah usaha membebaskan Lebanon daripada cengkaman musuh yang bersifat kebinatangan merupakan suatu jihad yang besar maknanya bukan sahaja kepada penduduk Lebanon malah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam seantero dunia.

Ini sejajar dengan penegasan Rasulullah s.a.w. mengenai tanggungjawab setiap umat Islam terhadap saudaranya: Orang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya, membiarkannya merana mahupun ditindas (Riwayat Muslim).

Allah turut menegaskan di dalam al-Quran: Sekiranya terdapat umat Islam yang menagih pertolongan lantaran ditindas atau dianiaya, maka menjadi kewajipan saudara seIslam menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk sama ada dengan jiwa raga mahupun harta benda (Al-Anfal:72).

Umat Islam hari ini mungkin tidak memiliki kecanggihan persenjataan ketenteraan. Namun salah satu senjata ampuh yang masih dipunyai umat ialah senjata ekonomi. Bilangan umat Islam yang mencecah 1.6 billion pastinya amat mudah memanfaatkan kuasa ekonomi khususnya ‘kuasa beli’ mereka untuk memboikot apa sahaja barangan daripada musuh mahupun pihak yang bersekongkol dengan musuh.

Pemboikotan sememangnya terbukti berkesan dalam sejarah sebagai instrumen yang mampu menatijahkan kesan perit kepada musuh. Malah jika ditelusuri sejarah awal Islam kita akan dapati pelbagai mekanisme pemboikotan digunakan termasuklah ke atas umat Islam hingga memaksa penghijrahan ke Madinah. Rasulullah sendiri menggunakan kaedah pemboikotan ke atas golongan munafik dan bangsa Yahudi yang menjadi duri dalam daging ketika Islam sudah bertapak di Madinah.

Justeru sudah tiba masanya umat Islam menterjemahkan kemarahan mereka secara lebih berkesan melalui tindakan yang lebih bermakna. Umat harus bijak menggunakan kekuatan yang masih tersisa untuk mengekang kebiadaban Israel dan sekutunya. Umat perlu bersedia menggunakan kuasa ekonominya untuk menekan kuasa-kuasa besar yang bongkak dengan kecanggihan ketenteraannya.

Selagi umat tidak mahu berkorban demi saudara seIslamnya yang ditindas selagi itulah mereka akan berterusan diperkotak-katik dan diperlakukan musuh sesuka hati. Selagi umat tidak bersedia untuk melakukan jihad ekonomi ini, selagi itulah mereka akan terus diperdaya dan dianiayai.

Cukuplah amaran Ilahi sebagai peringatan: Jika kamu (wahai orang-orang beriman) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadilah kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar (Al-Anfaal:73)

Posted on August 9, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: