Pak Lah Diserang Apabila Khairy Disayang


Keyakinan Rakyat Menurun

Sesebuah negara maju dan kuat, apabila ekonominya berkembang dan rakyat penuh yakin dengan kewibawaan para pemimpin mereka. Apabila ekonomi menguncup, dan rakyat tidak nampak sesuatu yang konkrit dilaksanakan kerajaan untuk memulihkannya, rakyat mulai hilang keyakinan terhadap pemimpinnya.

Dengan hilangnya keyakinan rakyat itu, negara mulai menjadi lemah dan akan mendedahkannya kepada ancaman baik dari luar negara mahupun dari dalam negara sendiri.

Antara faktor yang menyebabkan rakyat mulai hilang keyakinan ialah apabila mereka melihat pemimpin tidak dapat membuat sesuatu keputusan dengan cepat dan baik. Pemimpin banyak beretorik daripada bertindak. Di samping itu mereka akan tertanya-tanya siapakah yang sebenarnya yang sedang ‘membuat keputusan dan memimpin’.

Inilah senario yang sedang dialami rakyat Malaysia kini, terutamanya Bangsa Melayu, malah ahli UMNO sendiri.

Sebagai contohnya, apakah pengagihan projek benar-benar telus? Betulkah semuanya perlu melalui proses tender? Atau hanya yang Khairy tentukan sahaja yang boleh dapat.

Tanyalah ramai ahli-ahli perniagaan yang kini bercakap dengan bebasnya di lobi-lobi dan coffee house hotel. Mereka mengeluh. Yang mereka tahu projek-projek tertentu diberi hanya kepada syarikat berkepentingan Kerajaan yang dianggotai oleh kumpulan pemain korporat baru dari khazanah. Syarikat-syarikat bukan Melayu juga terus mendapat peluang-peluang ini. Ini tak ambil kira lagi anak beranak, ipar duai Pak Lah. Lihat sahajalah senarai penerima projek dari JKR? Bukalah fail di JKR kalau mahu ketelusan.

Menyorot Kepimpinan Mahathir

Mahathir telah memimpin Malaysia selama 22 tahun dan menempuh pelbagai ranjau politik dan pentadbiran. Beliau hampir kecundang pada tahun 1987 dan 1997. Tetapi beliau ‘buat sesuatu keputusan’, tak kiralah betul atau tidak tetapi beliau dapat menyelamatkan dirinya dan sekaligus negara, dari dilanda masalah.

Pada tahun 1997, kita dilanda krisis kewangan. Walaupun berpunca dari luar Mahathir berjaya mencari formulanya tersendiri untuk menghalang Malaysia dari terjerumus ke gaung kemusnahan ekonomi. Pada tahun itu kita menyalahkan anasir luar. Tetapi di bawah kepimpinan Mahathir kita masih boleh bangun. Kali ini kita tidak diancam secara langsung dari luar, tetapi nampaknya kita masih terkial-kial mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ekonomi kita.

Sebagai contoh, tidak berapa lama dahulu, 40,000 syarikat kontraktor Melayu amat tenat. Pak Lah menyebut agar mereka jangan lagi bergantung kepada projek Kerajaan. Pak Lah mahu mereka mengembang sayap ke luar negara. 40,000 syarikat ini hanya mampu mendengar betapa Kerajaan tidak ada wang lagi untuk membiayai projek-projek yang akan menyambung talian hayat mereka.. Bagaimana agaknya bagi mereka untuk mengembang sayap ke luar negara? Pak Lah tidak bagi apa-apa strategi pun untuk itu.

Pak Lah mengambilalih kepimpinan dari Mahathir dengan kepercayaan rakyat dan sekaligus membawa kemenangan besar kepada BN dalam pilihanraya umum. Kemenangan ini adalah kerana rakyat yakin dengan kepimpinan baru ini. Mereka mahu melihat bagaimana manifesto BN dalam pilihanraya yang menarik hati mereka itu dapat diterjemahkan ke dalam pelaksanaannya.

Kini tiga tahun sudah berlalu Malaysia di bawah Pak Lah. Rakyat masih menanti apakah halatuju Pak Lah. Pak Lah memperkenalkan Islam Hadhari. Niatnya baik, tetapi menambah nama Hadhari pada Islam memerangkap diri Pak Lah sendiri. Apakah lagi yang nak diterangkan mengenai Islam itu?. Mahathir sendiri tidak berani nak mengusik nama Islam. Beliau hanya sekadar menyebut ‘Penerapan Nilai-Nilai Islam’. Anwar juga tidak mahu menyentuh Islam. Beliau sekadar menyebut ‘Masyarakat Madani’.

Pak Lah pergi lebih jauh dan berani dengan menambah Hadhari pada Islam dan dengan sendirinya menampakkan Islam yang diamal sejak bergenerasi tanpa tokok tambah sebarang istilah di hadapannya, silap.

Akibat dari itu, Pak secara bersendirian terpaksa menjelajah seluruh negara untuk meyakinkan rakyat bahawa Islam Hadhari itulah yang terbaik. Masa dan usaha menjadi terbuang kerana kegopohan untuk memperkenalkan sesuatu yang baru. Tanyalah menteri-menteri kabinet, mereka sendiri tidak begitu faham dengan pendekatan Hadhari ini apatah lagi untuk turun padang menjelaskan kepada rakyat yang masih lagi kabur mengenainya.

Konsep Islam Hadhari ini jelas memberi peluru kepada PAS untuk terus menghentam BN dan UMNO.

Tindakan-Tindakan Yang Tidak Tegas

Dalam kehairahan membuktikan tindakan tegas diambil ke atas pengamal rasuah, Pak Lah bertindak ke atas Isa Samad. Di mana yang lain? Isa seorang sahajakah yang membeli undi? Isa menjadi kambing hitam sebenarnya. Mentang-mentang beliau kelihatan tidak berpengaruh dan tidak akan bertindakbalas. Kes Isa lebih dari sekadar rasuah politik. Kes Isa berakarumbi pada politik Negeri Sembilan. Kes Isa ada kaitan dengan Mohd Hassan, penggantinya di Negeri Sembilan, juga dengan Khairy, menantu Pak Lah. 5 bulan sebelum kes Isa terdedah, ahli keluarga Pak Lah sudah bercakap mengenai hal ini. Bukan konspirasikah ini?.

Apabila Mahathir mahukan penerima AP disiarkan nama-nama mereka, dia sebenarnya sudah bosan dengan dasar yang tidak menguntungkan industri kereta tanahair. Polisinya dahulu adalah AP diberikan kepada kereta-kereta mewah sahaja. Tetapi kini semua kereta boleh masuk, termasuklah dari China yang amat berkeras tidak mahu menerima kereta kita ke negaranya.

Rafidah pula, orang yang mula-mula sebak apabila Mahathir nak bersara dahulu, bukan main lagi menentang saranan Mahathir itu. Dalam pada itu dialah yang menyebut nama anak Mahathir juga adalah salah seorang penerima AP.

Mengapa Rafidah tidak menyebut nama Syed Azman dan Hanif, bekas pegawai MITI juga pasangan golf Rafidah yang menerima 67,000 AP untuk Syarikat mereka ‘West Star’?.

Begitulah dalam politik – senang benar bertukar arus. Benarlah kata Mahathir ‘Melayu mudah lupa’.

Satu kes lagi mengenai isu Dr Terence Gomez dari UM yang lantang mengkritik Kerajaan, cutinya untuk bertugas dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dihalang oleh pentabiran UM yang mungkin mempunyai sebab-sebab mereka sendiri. Pak Lah terus meluluskannya di satu pertemuan singkat dengan Gomez di lapangan terbang tanpa merujuk dengan pentabiran UM pun. Kecil hatilah Naib Canselor UM, seorang penyokong taksub Pak Lah.

Begitu juga apabila beberapa pelajar bukan Melayu yang terlepas pemberian biasiswa, dengan mudah Pak Lah mengarahkan pemberiannya, sedangkan dia tidak siasat dahulu alasan-alasan JPA. Hanya dengan sekali berita campurtangan MCA dan lain-lain badan Bukan Melayu disiar dalam akhbar Pak Lah terus mengalah. Dengan ini Pak Lah menunjukkan betapa senangnya beliau berubah dengan ugutan.

Nampaknya Pak Lah cepat nak ambil hati musuh tanpa menghiraukan perasaan kawan-kawan lamanya.

Hubungan Dengam Sahabat

Pak Lah punya ramai kawan-kawan lama yang dipanggil sahabat – terjalin dari zaman beliau menjadi Pengarah Belia lagi di tahun 70’an. Mereka ini berpanas dan berembun membantu Pak Lah ketika beliau mula meniti dalam koridor politik dan juga semasa tersingkir ketika menentang Mahathir dahulu.

Akibat kejatuhan Anwar, Pak Lah berpeluang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kini menjadi Perdana Menteri. Maka perjuangan para sahabat ini telah sampai ke kemuncaknya. Mereka gembira dan setelah berpuluh tahun membantu Pak Lah, sehinggalah ke peringkat menggagalkan pencalonan Ku Li bertanding tempat Presiden, mereka berharap dapatlah sedikit imbuhan di hari tua mereka. Tetapi semuanya hanya impian sahaja.

Dalam satu pertemuan dengan para sahabat dua tahun lalu, Pak Lah terkejut kerana tiba-tiba dia dikritik keras terutamanya mengenai peranan Khairy yang dilihat sahabat sebagai akan merosakkan Pak Lah. Tanpa segan silu Pak Lah mempertahankan Khairy. Pak Lah kecewa dengan sikap sahabat-sahabat pada malam itu dan mengambil keputusan tidak akan bertemu mereka lagi. Lagi pun dia merasai dia sudah tidak perlu lagi kepada para sahabat ini.

Pak Lah hanya perlu kepada sahabat-sahabatnya semasa beliau jatuh dan mahu mencapai kedudukan. Setelah dapat, sahabat-sahabat tidak lagi diperlukannya.

Tanyalah sahabat-sahabat Pak Lah yang berselerak di seluruh negara yang kini terumbang ambing mencari rezeki dan rata-rata yang mempunyai syarikat telah terpaksa gulung tikar.

Bagi mereka Pak Lah bukan lagi seorang yang mereka kenal di suatu masa dahulu..

Kini Pak Lah banyak bergantung kepada pembantu-pembantu muda di Tingkat 4. Mereka ini sebenarnya mencemburui sahabat-sahabat yang lama dengan Pak Lah dahulu, yang dianggap tidak bijak dalam bidang ekonomi. Budak-budak muda ini kesemuanya adalah pilihan Khairy. Dengan kelulusan tinggi mereka beranggapan mereka sudah cukup bijak dan boleh menasihati Pak Lah cara-cara memerintah negara.

Sahabat-sahabat banyak terpinggir dan hanya berharapkan kepada Dato’ Tajudin sahaja sebagai saluran menyampaikan pandangan mereka. Dalam keadaan sekarang apabila Pak Lah merasai tertekan dengan kritikan Mahathir, beberapa kerat sahabat dipanggil untuk berbincang. Dato’ Tajudin juga terkejut kerana rara-ratanya mengkritik Pak Lah.

Pak Lah bukan mudah didekati seperti dahulu lagi. Permohonan temujanji tidak akan dilayani lagi. Pandangan dan pendapat apatah lagi nasihat jauh sekali diterima. Benar Pak Lah sekarang adalah seorang Perdana Menteri yang amat sibuk. Dalam kesibukan Perdana Menteri mana pun di dunia ini, sedikit ruang akan diberi kepada sahabat-sahabat yang setia sejak bertahun-tahun.

Kalau Allahyarham Ghafar pun, seorang mentor Pak Lah, dahulu susah nak jumpa Pak Lah sehingga terpaksa menyerahkan memorandum di lapangan terbang, apalah sangat sahabat-sahabat yang sedang merempat itu!

Selama dia berpolitik di bawah empat Perdana Menteri, Ghafar tidak pernah terkial-kial nak hulur memorandum kepada pemimpinnya. Tetapi di bawah era Pak Lah Ghaffar terpaksa berbuat demikian. Apa tandanya ini? Ghafar sudah ada di peringkat yang bukan lagi mempunyai sebarang agenda politik. Dia sudah tua dan sering uzur. Tetapi kerana ada sesuatu yang tidak kena itulah menyebabkan dia turut beratur macam rakyat biasa yang lain untuk bersalam dengan Pak Lah di lapangan terbang. Kasihan Ghafar!

Siapa Benteng Pak Lah

Kalau Pak Lah sudah menolak sahabat-sahabat lamanya, siapakah yang mengelilinginya sekarang. Ramai di antaranya ialah orang-orang yang pernah menjauhkan diri darinya semasa dia jatuh dahulu.

Orang-orang UMNO, ahli-ahli korporat dan para sahabat sekarang tidak lagi bercakap baik mengenai Pak Lah. Yang masih sibuk ialah akhbar arus perdana yang diketuai oleh NST di bawah Kalimullah. Hanya inilah sahaja jentera yang masih memuji-muji Pak Lah.

Di kalangan pegawai-pegawai tadbir juga sudah timbul keresahan kerana mereka mula membezakan kepimpinan Pak Lah dengan Mahathir yang jauh macam bumi dengan langit. Pak Lah lambat buat keputusan. Pengurusan waktu Pak Lah amat lemah. Temujanji tidak pernah mengikut waktu. Ketua pengarah kena tunggu sampai empat hingga lima jam baru boleh jumpa Pak lah. Keputusan bukan sahaja lambat malah tidak dibuat langsung. Fail dan surat hilang di tangan Pak Lah bukan lagi perkara luar biasa.

Apakah ertinya Pak Lah berkokok di luar negara mengenai ‘Human Capital’, ‘The New Asia’, ‘Islam Hadhari’, sedangkan di laman rumah sendiri banyak hal masih kucar kacir.

Apakah ertinya pembangunan 22 tahun yang diasaskan oleh Mahathir yang kini dengan senang-senang dirombak oleh regim Pak Lah?

Khairy dalam satu wawancara dengan majalah asing semasa Pak Lah masih jadi TPM berkata, apabila mertuanya itu ambilalih kepimpinan dari Mahathir, Malaysia akan jadi lebih bersih. Benarkah Malaysia bersih sekarang? Apakah Khairy juga bersih dan tidak ambil kesempatan dengan kedudukannya untuk mengkayakan dirinya?

Dengan keadaan sebegini siapakah yang sebenarnya akan mempertahankan kepimpinan Pak Lah sekarang?

Di kalangan sahabat sendiri adalah beberapa kerat yang mendapat tempat dan projek, yang masih cuba mempertahankan Pak Lah walaupun hujah-hujah mereka agak hambar dan tidak meyakinkan.

Dato’ Shagul Hamid, walaupun diberi jawatan sebagai Ketua Pengarah BTN, tidak terkecuali dalam mengkritik Pak Lah. Bagi Dato’ Rais Zainuddin, EXCO Negeri Sembilan, sokongannya lebih merupakan insuran untuk mendapat tempat sebagai Menteri Besar kalau-kalau Mat Hassan dipindahkan ke pusat. Dato’ Annuar Zaini, yang satu masa dahulu menjauhi diri dari Pak Lah ketika Anwar Ibrahim menjadi TPM, turut menyokong Pak Lah kerana mendapat tempat di Bernama, selain dari perlu mengekalkan kepercayaan Vincent Tan bahawa dia rapat dengan Perdana Menteri itu. Begitu juga dengan beberapa orang sahabat-sahabat lain yang telah mendapat beberapa projek besar setelah beratur di KLIA untuk mencium tangan Pak Lah.

Kebangkitan Semula Mahathir

Mahathir memberi alasan kukuh mengapa dia mengkritik kepimpinan Pak Lah. Dia hanya perlu jawapan yang manasabah ke atas 4 perkara, iaitu pembatalan jambatan bengkok, penjualan MV Agusta, Pengagihan AP dan pembuangan Tengku Mahleel.

Walaupun jawapan cuba diberi, bukan sahaja Mahathir gagal diyakini, rata-rata rakyat termasuk ahli-ahli UMNO sendiri yang merasai seperti diperbodoh-bodohkan.

Segala jawapan yang disebar melalui semua media arus perdana hanya memerlukan Matthias Chang seorang sahaja untuk membidas balik segala hujah-hujah yang tidak meyakinkan itu.

Kini rakyat diransangkan oleh kebangkitan semula Mahathir. Mereka telah lama memendam perasaan tidak puas hati terhadap kelemahan kepimpinan Pak Lah. Mahathir muncul sebagai pemangkin kepada gerakan yang kini telah menolar ke seluruh negara.

Majlis penerangan yang diadakan dibeberapa buah negeri kepada ahli-ahli UMNO mendapat tentangan hebat. Tokoh-tokoh besar parti yang turun padang untuk berceramah dihentam habis-habisan. Tidak ada di antara mereka yang boleh menjawab dengan betul.

Antara yang amat menjijikkan para hadirin ialah tidak ada seorang menteri yang memberi penerangan itu dapat menjelaskan mengenai pembelian saham Avenue Capital oleh ECM Libra, yang jelas melanggar peraturan dan ketelusan korporat.

Maka ini jelas menunjukkan UMNO sendiri sebenarnya mahukan kebenaran. Mereka bukan mahu Mahathir kembali memerintah. Mahathir sendiri pun menafikannya.

Namun di kalangan penyokong-penyokong Pak Lah, mereka cetuskan satu alasan iaitu Mahathir memang ingin menjatuhkan Pak Lah. Maka Mahathir berniat jahat. Mengapa Mahathir perlu menjatuhkan orang yang dipilihnya kalau tidak kerana ada sebab-sebab yang besar.

Sebab-sebabnya, seperti yang diketahui umum, ialah Malaysia dan Melayu sekarang berada di serambi kejatuhan akibat dasar-dasar pintu terbuka dan mengambil hati syarikat dan kerajaan luar secara sewenang-wenangnya.

Mahathir tentu ada semua fakta dan bukti-buktinya. Kalau tidak dia tidak bertindak seperti sekarang. Namun dia dimomokkan oleh orang seperti Brendan Perera dari NST, yang mempunyai kepentingan Singapura. Kalau di Negara-negara yang terkenal dengan revolusi berdarah mereka, orang seperti Brendan ini barangkali sudah lama badannya disaluti cacing dalam tanah.

Orang Melayu nampaknya tetap bersabar. Namun kebelakangan ini kesabaran itu sudah mulai pudar. Bagi mereka sejak dua tiga tahun lepas, punca masalah Pak Lah ialah Khairy.

Betapapun Pak Lah ditegur mengenai hal ini dia tidak rela memisahkan Khairy dari urusan pentadbirannya. Khairy, Kalimullah dan Kamaluddin adalah gabungan 3K yang amat-amat dicurigai sebagai anasir yang merosakkan Pak Lah. Selagi Pak Lah berdegil dan terus menerus menyayangi 3K ini lebih dari sepatutnya, maka selama itulah Pak Lah akan ditentang.

Gerakan Angin Perubahan

Umum mengetahui gerakan angin perubahan kini bertiup kencang. Pelajar-pelajar universiti tidak terkecuali dari terlibat dengan menamakan kumpulan mereka Gen M. Anggotanya kini sudah melebihi 6 ribu orang.

Benteng Pak Lah makin tipis. Media arus perdana seperti NST, TV3, Utusan terpaksa menyokong kerajaan pada hari ini sebagai amalan menjaga periuk nasi. Di kalangan pengarang-pengarangnya ramai secara sulit tidak menyokong kepimpinan Pak Lah. Mereka juga nampaknya mengamalkan ‘elegant silent’ seperti Pak Lah. Tetapi keadaan ini tidak lama.

Angin Perubahan ini makin kencang. Di kalangan menteri kabinet sendiri ramai yang merasai tidak banyak alasan yang ada untuk mempertahankan Pak Lah. Mereka perlu lakukan walaupun hujah mereka lemah demi menjaga kedudukan dan tidak ada pilihan. Namun mereka juga akan berubah ditiup angin perubahan itu.

Ini ujian bagi Pak Lah. Kalau dia dapat keluar dari kemelut ini, maka layaklah dia menjadi Perdana Menteri untuk sekian lama lagi. Kalau tidak dia akan ditentang kerana Khairy yang tersayang.

Inilah semua persoalan yang perlu ditangani bukan sahaja oleh Pak Lah malahan seluruh ahli UMNO. Artikel ini tidak berniat jahat tetapi ingin mengukur keikhlasan perwakilan UMNO nanti, sekiranya mereka mahu melihat negara ini tidak menjadi lemah. Kalau dalam perhimpunan agung UMN0) tidak lama lagi itu nanti, masih ramai yang terus mendodoi Pak Lah dengan lagu-lagu pujian yang jelek, maka ahli-ahli UMNO hanya sekadar berani bercakap di belakang.

Bila melihat senyum dan kena tumbukan manja Pak Lah, semuanya lemah. Kalau itulah keadaannya, maka terimalah sahaja pemimpin yang kita pilih itu, dan biarlah anak cucu kita menerima risikonya di belakang hari.

oleh: Keris Merah
sumber: http://www.kmu.net.my

22 Julai 2006

 

Posted on July 30, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: