Dokumen rahsia didedah — Kerajaan jawab dakwaan Mahathir isu jambatan bengkok




KUALA LUMPUR 14 Julai – Kerajaan menjelaskan bahawa tawaran penggunaan ruang udara Malaysia kepada Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dibuat sendiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Dr. Mahathir menawarkan kemudahan tersebut sebagai satu pertukaran trade-off semasa rundingan berpakej antara kedua- dua negara antara 1998 dan 2002.

Sementara penjualan pasir ke Singapura pula dibangkitkan oleh republik itu semasa mesyuarat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong pada 1 Mac 2005.

Penjelasan itu terkandung di dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini berhubung dakwaan Dr. Mahathir bahawa kerajaan membuat tawaran ruang udara dan penjualan pasir kepada Singapura dalam rundingan projek pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Pendedahan terbuka itu bagi menjelaskan sebab-sebab kerajaan membatalkan projek pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Kenyataan JPM itu juga sekali gus menjawab segala dakwaan Dr. Mahathir sebelum ini, yang kecewa dengan keputusan kerajaan membatalkan projek jambatan berkenaan.

‘‘Kesimpulannya perlu ditegaskan, Singapura tidak menganggap ada keperluan untuk menggantikan Tambak Johor dengan jambatan.

“Justeru, Singapura inginkan timbang balas bagi mereka apabila bersetuju dengan pembinaan jambatan. Merekalah (Singapura) yang meminta pasir serta penggunaan ruang udara sebagai balasan.

“Dr. Mahathir sendiri memasukkannya (isu ruang udara) di dalam surat kepada Menteri Kanan Singapura (ketika itu), Lee Kuan Yew pada 4 Mac 2002,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, isu yang sama dibangkitkan oleh Chok Tong (ketika itu Menteri Kanan) dalam satu mesyuarat bersama Abdullah pada 1 Mac 2005.

Pada mesyuarat tersebut, republik itu turut membangkitkan isu penjualan pasir kepada Singapura.

Ini menangkis dakwaan (Dr. Mahathir) bahawa kerajaan sekarang yang membangkitkan isu pasir di meja rundingan.

Kenyataan itu juga mendedahkan beberapa dokumen rahsia yang relevan dan diklasifikasikan semula bagi membolehkan rakyat memahami mengapa kerajaan mengambil keputusan membatalkan projek jambatan berkenaan.

Ini kali kedua dalam sejarah, maklumat yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 diklasifikasikan semula dan diluluskan untuk tatapan umum.

Kenyataan itu secara umumnya mengandungi tiga fakta utama bagi menjelaskan segala dakwaan Dr. Mahathir dan mengapa projek jambatan tersebut dibatalkan iaitu:

Perbincangan bersama Singapura mengenai ruang udara bukan perkara baru yang disyorkan oleh kerajaan di bawah pimpinan Abdullah.

Penjualan pasir kepada Singapura dibangkitkan oleh republik tersebut semasa mesyuarat antara Abdullah dan Chok Tong pada 1 Mac 2005.

Pendapat undang-undang dari Jabatan Peguam Negara menunjukkan bahawa Malaysia tidak boleh meneruskan usaha membina jambatan secara bersendirian (unilateral) tanpa mematuhi tuntutan undang-undang.

Dr. Mahathir membuat enam dakwaan termasuk dua dakwaan utama berhubung kerajaan membenarkan penggunaan ruang udara dan penjualan pasir kepada republik itu.

Dakwaan lain Singapura menerima cadangan Malaysia membina sebuah jambatan bengkok; jambatan berkenaan bukan sebahagian daripada pakej tertunggak isu dua hala (melibatkan kedua-dua negara) dan Malaysia adalah negara lemah serta tidak mempunyai keberanian dengan tidak meneruskan projek jambatan bengkok.

Kenyataan itu turut menyertakan semua surat-menyurat antara Dr. Mahathir dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Kuan Yew dan Chok Tong.

Menurut kenyataan itu, pada 4 Mac 2002, Dr. Mahathir menulis kepada Kuan Yew (Menteri Kanan) mengenai cadangan Malaysia berkenaan pakej isu dua hala yang tertunggak.

Ia antara lain mencadangkan pembinaan jambatan di sebelah Malaysia, manakala Singapura akan membina jambatan di sebelah republik itu, dengan masing- masing menanggung kos pembinaan sendiri.

Selepas jambatan tersebut siap, Tambak Johor akan dirobohkan.

Dr. Mahathir mencadangkan jika Singapura tidak mahu membina jambatan di sebelahnya, Malaysia bercadang membina jambatan di kawasannya sendiri, dan sebaik-baik sahaja jambatan itu siap, Tambak Johor sebelah Malaysia akan dirobohkan.

Pada 11 April 2002, Chok Tong (pada masa itu Perdana Menteri Singapura) membalas surat Dr. Mahathir dan menyatakan persetujuannya, walaupun beliau lebih gemar kepada cadangan jambatan

penuh tetapi cadangan itu dibuat dalam konteks pendekatan berpakej untuk isu-isu dua hala yang tertunggak.

Pada mulanya, isu-isu berpakej tertunggak hanya meliputi empat perkara iaitu air, Central Provident Fund (CPF), ruang udara dan menempatkan semula Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin KTM di Singapura.

Ini telah disepakati oleh kedua-dua negara di Hanoi pada 27 Disember 1998.

Isu projek jambatan dimasukkan dalam isu-isu berpakej dan menjadi isu kelima melalui surat Dr. Mahathir kepada Kuan Yew pada 4 Mac 2002.

Pada 7 Oktober 2002, Dr. Mahathir memberitahu Chok Tong bahawa Malaysia membuat keputusan tidak meneruskan perbincangan isu-isu tertunggak secara berpakej dan hendak memberi tumpuan kepada penyelesaian isu air yang sudah lama tertangguh, terutama penyemakan semula harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura.

Menurut kenyataan itu, Dr. Mahathir mengambil pendekatan tersebut kerana tiada kemungkinan dapat dicapai persetujuan dalam menyelesaikan isu- isu ini secara berpakej.

Pada 14 Oktober 2002, Chok Tong bersetuju tidak meneruskan perbincangan mengenai isu-isu tertunggak secara berpakej dan Singapura menarik balik persetujuan pembinaan jambatan bengkok yang dibuat dalam konteks penyelesaian secara berpakej.

Republik itu juga menyatakan, persetujuan yang diberikan sebelum ini untuk projek jambatan bengkok itu tidak boleh dipakai lagi.

Kenyataan Chok Tong itu tidak disangkal oleh Dr. Mahathir, malah beliau tidak menjawab surat Chok Tong itu.

Menurut kenyataan itu, kesannya, surat itu menunjukkan bahawa kedua-dua pihak kini kembali kepada status-quo.

Kedua-dua pihak juga mencapai persefahaman semasa rundingan bahawa sebarang cadangan tidak akan dianggap muktamad selagi ia tidak dimeterai dalam satu perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pemimpin Malaysia dan Singapura.

Posted on July 14, 2006, in Dunia Yang Berkait. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: